UMNO Perlu Kembali Jadi Dominan
UMNO Perlu Kembali Jadi Dominan
JERANTUT – Perubahan secara menyeluruh perlu dilakukan UMNO jika mahu parti itu kembali menjadi dominan dan dipercayai rakyat.
Calon ketua UMNO Bahagian Jerantut, Ahmad Murad Mat Hassim berkata, sebagai sebuah parti yang sudah lama bertapak dalam politik Malaysia, UMNO tidak boleh terus berada dalam zon selesa.
“Kita bukan lagi parti untuk rakyat, tapi senario hari ini menunjukkan seolah UMNO hanya untuk orang UMNO.
“Sebab itulah saya mengajak semua pihak, yang ada jawatan atau tidak ada jawatan, yang berada di luar (bukan ahli) atau di dalam UMNO, kita kena buat perubahan.
“Saya bimbang jika keadaan selesa ini berterusan, kita akan hanya mempunyai kuantiti (ahli) tapi bukan kualiti,” katanya.
Ahmad Murad yang mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang teknologi komunikasi berharap agenda dibawanya pada pemilihan kali ini diterima baik semua ahli UMNO Bahagian Jerantut.
Katanya, selain melakukan perubahan secara dalaman, UMNO juga perlu menggiatkan usaha memenangi semula hati golongan belia.
“Berbekalkan pengalaman yang ada ketika mengetuai Majlis Belia Daerah Jerantut sebelum ini (2011-2013), saya percaya golongan belia masih yakin dengan kemampuan UMNO.
“Sebab itulah saya mahu membawa lebih ramai golongan belia bersama UMNO dan memperkuatkan semula parti ini sebagai sebuah parti yang memperjuangkan nasib golongan belia,” katanya.
Beliau turut memaklumkan barisan calon pimpinan UMNO Bahagian Jerantut pada pemilihan kali ini juga bekas pemimpin belia yang digilap sejak awal lagi.
“Maknanya, UMNO dan belia ini perlu kembali bekerjasama untuk memperkuatkan parti,” katanya.-SAHIH
tamat