UMNO PERLU BERSATU ELAK PERPECAHAN
UMNO PERLU BERSATU ELAK PERPECAHAN
KUALA LUMPUR: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta agar bangsa Melayu dan Bumiputera bersatu dan mengelakkan perpecahan.
“Ingin saya tekankan betapa pentingnya Melayu Bumiputera bersatu dalam menghadapi dunia politik yang semakin mencabar. Mahu tidak mahu, kita tidak dapat menolak bahawa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tidak lama,” kata dalam kenyataan hari ini.
Oleh sebab itu, Ismail Sabri berkata UMNO harus terus memperkukuhkan parti dan memastikan tiada lagi perpecahan berlaku yang akhirnya membuatkan bangsa Melayu itu lemah dan akhirnya peristiwa 22 bulan di bawah Pakatan Harapan (PH) berulang.
Dalam mencari kepercayaan rakyat, beliau menggesa supaya kepimpinan UMNO perlu belajar dari kesilapan dan mengambil iktibar kesilapan percaturan sehingga parti keramat orang Melayu itu tersungkur pada PRU-14, lapor BH Online.
“Tidak salah untuk kita akui kesilapan dan belajarlah daripada kesilapan ini agar kita dapat membina kembali keutuhan parti. Ingatlah, lidi yang sebatang, terlalu mudah dipatahkan namun jika ia menjadi seberkas, ia menjadi kuat dan kukuh.
“Maka saya menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia supaya menolak politik kebencian dan fitnah dan kita harus mencari satu permulaan baru kepada Malaysia yang lebih baik dan aman dalam norma baharu pasca COVID-19.
“Saya amat yakin dengan segala sejarah dan peristiwa lepas yang telah menjerumuskan kita dalam rekah kebinasaan sebuah negara majmuk seketika itu menjadikan kita lebih matang dan rasional dalam menentukan halatuju negara demi masa depan generasi akan datang,” katanya dalam kenyataan itu.
Kenyataan Ismail Sabri itu dibuat ketika pergolakan dalaman UMNO dikatakan semakin meruncing membabitkan apa yang dipanggil Kluster Menteri yang cenderung menyokong Perikatan Nasional (PN) dengan kumpulan yang menolak kerjasama dengan gabungan yang mentadbir kerajaan sekarang.
Usul agar kerjasama UMNO dengan BERSATU ditamatkan dibuat akar umbi oleh lebih 100 bahagian sebelum ini dan diterima Majlis Tertinggi parti berkenaan.
Keputusan itu dikatakan bakal diputuskan dalam perhimpunan agung UMNO yang dijadual pada Mac ini.
Sementara itu, Ismail Sabri turut menyingkap era pentadbiran Barisan Nasional (BN) ketika menjadi kerajaan, yang mana katanya, negara ini ditadbir dengan baik dan sikap hormat menghormati antara kaum sentiasa dipelihara dalam semua aspek.
Bukan hanya Melayu dan Bumiputera terjamin, tetapi katanya kaum lain turut bebas mengamalkan budaya serta kepercayaan masing-masing.
“Malah dirai bersama dalam kemajmukan Malaysia. Lantaran itu, bangsa lain tidak perlu khuatir sama sekali sekiranya UMNO yang menjadi komponen dalam BN kembali menjadi tunjang negara,” katanya.
Sebaliknya, Ismail Sabri berkata, ketika Pakatan Harapan (PH) mentadbir kerajaan selama 22 bulan, bukan sahaja kemajmukan Malaysia dirobek malah hak keistimewaan orang Melayu Bumiputera juga diganggu.