UMNO PAHANG KECAM KENYATAAN BIADAB YEO BEE YIN
UMNO PAHANG KECAM KENYATAAN BIADAB YEO BEE YIN
KUANTAN: UMNO Pahang mengecam sekeras-kerasnya kenyataan Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin, yang disifatkan sebagai biadab susulan tindakannya meraikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkaitan isu Titah Adendum membabitkan bekas Perdana Menteri, Najib Tun Razak.
Naib Presiden UMNO merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail, berkata tindakan itu bukan sahaja tidak wajar, malah mencerminkan keangkuhan politik serta ketandusan adab dan sensitiviti sebagai seorang wakil rakyat.
Menurutnya, keputusan mahkamah tidak seharusnya dijadikan pentas sorakan politik, apatah lagi diraikan dengan ejekan dan sindiran yang boleh menyentuh perasaan ahli keluarga Najib serta ahli-ahli UMNO yang masih menaruh harapan terhadap usaha mendapatkan keadilan.
“Keputusan mahkamah bukan bahan ejekan atau sindiran politik murahan. Tindakan sedemikian hanya memperlihatkan ketidakmatangan serta kekeringan nilai seorang pemimpin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, perbezaan pandangan politik seharusnya diraikan dengan adab dan keikhlasan, bukannya melalui kenyataan sinis yang akhirnya mencerminkan sikap angkuh dan sombong.
“Jika mahu berkawan, berkawanlah dengan adab dan keikhlasan, bukan dengan ejekan kosong,” katanya.
Dalam pada itu, Wan Rosdy menegaskan UMNO Pahang akan terus berdiri teguh dan tidak goyah dalam memberikan sokongan kepada Najib serta meneruskan usaha mencari keadilan berhubung isu berkenaan.-SAHIH
