UMNO Lipis gesa representasi Pantai Timur dalam Kabinet dipertimbang semula
Foto : Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad
UMNO Lipis gesa representasi Pantai Timur dalam Kabinet dipertimbang semula
LIPIS – Naib Ketua UMNO Bahagian Lipis merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Mustapa Long, mengemukakan pandangan supaya kerajaan pusat mempertimbangkan semula keperluan wakil Pantai Timur dalam barisan Kabinet demi menjaga keseimbangan federasi dan kesinambungan pentadbiran negara.
Menurut beliau, Pahang kekal sebagai negeri penyumbang kerusi signifikan kepada Kerajaan Persekutuan, justeru wajar diberi ruang dalam pasukan pembuat dasar di peringkat nasional.
Katanya, ketiadaan wakil Pantai Timur dalam Kabinet ketika ini tidak selari dengan sumbangan negeri-negeri terbabit terhadap kestabilan kerajaan pusat.
Dalam kenyataan itu, Mustapa turut menamakan Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad sebagai tokoh paling berpengalaman untuk mengisi kekosongan representasi Pantai Timur berdasarkan rekod perkhidmatan beliau dalam kerajaan.
Abdul Rahman sebelum ini pernah berkhidmat dalam tiga kementerian, Kerja Raya, Pembangunan Luar Bandar dan Sumber Manusia, dengan rekod yang digambarkan beliau sebagai “stabil, telus dan diterima baik oleh pelbagai komuniti”.
Mustapa berkata, keupayaan Abdul Rahman terbukti melalui gerak kerja lapangan, komunikasi terbuka dengan masyarakat serta rekod bebas kontroversi sepanjang berada dalam pentadbiran.
“Pandangan ini dikemukakan dalam semangat memperkukuh hubungan Pahang–Persekutuan dan memastikan suara Pantai Timur terus terwakili dalam dasar nasional,” katanya.
Beliau menambah bahawa pelantikan tokoh berpengalaman dari Pahang mampu membawa manfaat kepada kepimpinan nasional tanpa menjejaskan keharmonian politik sedia ada.-SAHIH.
