UMNO Jerantut mula pecutan akhir kempen PRK Pelangai
UMNO Jerantut mula pecutan akhir kempen PRK Pelangai
BENTONG – Lebih kurang 24 jam lagi, tempoh berkempen bagi PRK Pelangai akan berakhir.
Dalam tempoh kritikal ini, UMNO Bahagian Jerantut terus giat melaksanakan pelbagai program bagi memastikan seramai mungkin pengundi akan keluar menunaikan tanggungjawab mereka pada Sabtu ini.
AJK UMNO Bahagian Jerantut, Razak Daud berkata, antara program yang sudah dilakukan pihaknya adalah Ziarah Kasih di FELDA Kemasul.
“Program Ziarah Kasih sememangnya menjadi rutin harian UMNO Bahagian Jerantut sejak hari pertama berkampung di FELDA Kemasul.
“Selain itu, kita juga menganjurkan dua program kenduri rakyat bersama penduduk di sini,” katanya.
Selain itu, kata Razak, UMNO Bahagian Jerantut turut mengagihkan makanan dari rumah ke rumah menggunakan konsep memasak secara gotong-royong.
Katanya, turut diadakan aktiviti kesenian seperti persembahan wayang kulit, dikir barat dan wayang pacak.
“Satu ‘flashmob’ bagi menyambut kepulangan perantau ke kampung bagi mengundi sejak petang tadi.
“Program ini turut disertai ketua UMNO Bahagian Jerantut, Haris Salleh dan AJK UMNO Bahagian,” katanya lagi.
Turut diadakan adalah ceramah isu semasa yang disertai pimpinan UMNO dan Pakatan Harapan peringkat negeri dan Pusat.
Antara yang menyertai ceramah adalah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu dan ahli MT UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan.
Selain itu, turut membantu kempen adalah bekas menteri besar Pahang, Tan Sri Adnan Yaakob dan bekas perdana menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.- SAHIH