UMNO Jerantut Bangkit, Sedia Rampas Semula Kerusi – Abdul Rahman
UMNO Jerantut Bangkit, Sedia Rampas Semula Kerusi – Abdul Rahman
JERANTUT – UMNO Bahagian Jerantut diyakini mampu bangkit semula selepas kekalahan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) apabila kini menampilkan barisan kepimpinan yang lebih bersatu serta ikhlas berjuang untuk parti.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, penyatuan yang ditunjukkan pimpinan UMNO Jerantut ketika ini merupakan petanda positif menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
“Saya lihat sudah tidak wujud lagi ‘warlord ’ atau kelompok berpuak dalam UMNO Jerantut. Mungkin musibah kekalahan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen sebelum ini menyedarkan mereka tentang pentingnya kesatuan.
“Kini, UMNO Jerantut di bawah pimpinan Haris Salleh Hamzah serta barisan timbalan, Wanita, Pemuda dan Puteri menampilkan keikhlasan yang jauh berbeza,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jerantut 2025, hari ini.
Abdul Rahman berkata, UMNO Jerantut berpotensi besar menyumbang kepada kemenangan Barisan Nasional (BN) di peringkat negeri, malah boleh membantu membentuk semula kerajaan Pahang dengan majoriti dua pertiga.
Beliau turut menempelak tindakan pembangkang, khususnya Parti Islam Se-Malaysia (Pas), yang didakwa sering mengambil kredit terhadap projek kerajaan terdahulu.
“Mereka suka mendakwa. Contohnya projek pembinaan jambatan RM5.7 juta di Kampung Kuala Kecau yang saya luluskan ketika menjawat jawatan Timbalan Menteri KPLB, mereka datang bergambar dan umumkan seolah-olah itu hasil perjuangan mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Rahman turut menjelaskan isu pelupusan hutang air negeri Pahang yang didakwa kononnya hasil usaha Pas, sedangkan inisiatif tersebut bermula sejak pentadbiran Tan Sri Adnan Yaakob pada 2016 dan mendapat kelulusan awal Datuk Seri Najib Razak.
“Apabila kerajaan bertukar, mereka pula yang tampil mendakwa seolah-olah semua usaha itu hasil mereka. Rakyat tidak tahu cerita sebenar. Sebab itu penjelasan seperti ini penting agar rakyat tahu fakta,” katanya.-SAHIH