UMNO BATU PAHAT AGIH 100 BAKUL MAKANAN
UMNO BATU PAHAT AGIH 100 BAKUL MAKANAN
BATU PAHAT: Program Sepakat@Komuniti Jawatankuasa Penyelaras Khas Dewan Undangan Negeri (JPKD DUN) Penggaram bersama Pejabat Penerangan Batu Pahat dan Biro Kebajikan UMNO Batu Pahat telah mengagihkan 100 bakul makanan kepada tiga pusat tahfiz.
Pusat tahfiz tersebut ialah Madrasah Tahfiz Lim Poon di Penggaram, Tahfiz Al-Jauhir di Senggarang dan Tahfiz Al-Quran Al-Bukhairi di Rengit.
Pengerusi JPKD Penggaram, Zaidi Japar yang mengetuai kunjungan dalam program itu turut menyumbangkan wang tunai kepada pusat tahfiz yang dilawati selain mengedarkan 100 bendera Jalur Gemilang sempena Sambutan Hari Malaysia pada 16 September 2021 ini.
Zaidi berkata, selain pusat tahfiz berkenaan program itu turut mengagihkan 100 bakul makanan dan Jalur Gemilang kepada dua Balai Bomba di Jalan Timah Sari dan Rengit serta dua pasukan bomba sukarela di Senggarang dan Rengit.
“Program itu diharapkan dapat menyemarakkan lagi sambutan Hari Malaysia dan bakul makanan itu bertujuan meringankan bebanan mereka yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pandemik Covid-19.
“Selain itu, program ini juga sebagai penghargaan kepada barisan hadapan pandemik Covid-19 seperti anggota bomba yang senantiasa gigih dan dedikasi memikul tanggungjawab bersama pasukan keselamatan lain bagi menyekat penularan wabak berbahaya itu,” katanya yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat.
Sementara itu dalam majlis berasingan, Pengerusi Teraju Kebajikan UMNO Bahagian Batu Pahat, Mohd Hamidi Madtap, mengagihkan bakul makanan sumbangan Ketua UMNO bahagian berkenaan, Datuk Mohd Puad Zakashi kepada keluarga Orang Asli Koris yang memeluk agama Islam menerusi Unit Dakwah Pejabat Agama Islam daerah Batu Pahat.
Katanya, pejabat UMNO bahagian itu turut memberi sumbangan kerusi roda kepada seorang penduduk Kampung Parit Botak, Senggarang, Mohd Ismail Na’Aim berulang ke hospital bagi mendapatkan rawatan.-SAHIH.