Ucapan terima kasih Ketua Peneroka Felda Jengka 24
Ucapan terima kasih Ketua Peneroka Felda Jengka 24
JERANTUT – Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua remaja dari Felda Jengka 24 yang lemas di Kampung Durian Hijau di sini, sehingga kedua-dua mangsa berjaya ditemukan.
Menurut Razak, operasi SAR yang dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) ditamatkan sepenuhnya pada pukul 12.30 tengah hari semalam selepas mangsa kedua ditemukan pada pukul 9.50 pagi.
Katanya, mangsa pertama sudah ditemukan lebih awal sebelum penemuan mangsa kedua sekali gus menamatkan pencarian yang memasuki hari ketiga.

“Alhamdulillah, hari ini telah selesai operasi mencari mangsa lemas dari Jengka kita, telah tamat dan ditutup pada 12.30 tengah hari tadi.
“Terima kasih banyak kepada pihak bomba, polis dan APM yang menjalankan operasi berkenaan sehingga menjumpai mangsa kedua jam 9.50 pagi tadi,” katanya menerusi kenyataan.
Razak turut merakamkan penghargaan kepada pengurusan Felda, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR), GPW, MBFM, KAF, badan masjid serta seluruh warga Felda Jengka 24 yang membantu sepanjang operasi berlangsung.

Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada wakil rakyat termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar, Ketua Pemuda, Ketua Puteri dan penyelaras DUN Pulau Tawar yang hadir memberi sokongan di lokasi kejadian.
Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan takziah kepada keluarga kedua-dua mangsa.
Razak berkata, kedua-dua jenazah dijangka dikebumikan bersebelahan kira-kira pukul 2.30 petang selepas selesai proses bedah siasat di Unit Forensik Hospital Jerantut.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penduduk Kampung Durian Hijau dan orang ramai yang membantu serta memberi kerjasama sepanjang operasi dijalankan.-SAHIH
