TYT MOHON MASA PILIH KM BARU
Berita Politik
TYT MOHON MASA PILIH KM BARU
KOTA KINABALU: “Yang di-Pertua Negeri Sabah meminta sedikit waktu bagi membuat pelantikan Ketua Menteri Sabah baharu.
“Dia (Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin) sudah meminta beberapa waktu dan ianya akan segera diselesaikan,” kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Dalam pada itu, Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, Datuk Hajiji Noor berkata beliau menyerahkan segalanya kepada Tun Juhar untuk membuat keputusan terbaik.
“Yang di-Pertua Negeri akan putuskan,” katanya ringkas.
Sementara itu, dalam pertemuan yang mengambil masa kira-kira 30 minit yang berlangsung di Istana Negeri, Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Jahid Jahim juga mengatakan mereka sudah menyerahkan dokumen kepada istana.
Semua dokumen berkenaan adalah dokumen-dokumen berkaitan pernyataan berkanun untuk menyokong pemilihan Ketua Menteri Perikatan Nasional (PN).
“Prosesnya lancar dan perbincangan yang baik.” katanya.
Turut mencuri tumpuan pengamal media ialah kedatangan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Datuk Dr Jeffrey Kitingan, namun beliau enggan ditemubual pihak media.
Sumber: Utusan