TVET buka jalan Faris ke persada antarabangsa
Foto : Muhamad Faris melahirkan rasa bersyukur dengan TVET dan SKM Tahap 3 dari IKBN Kuala Perlis dia ke persada antarabangsa.
TVET buka jalan Faris ke persada antarabangsa
Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terus menjadi laluan penting melahirkan tenaga kerja mahir berasaskan kemahiran praktikal bagi memenuhi keperluan industri teknologi tinggi.
Di bawah Kerajaan Madani, TVET diperkukuhkan melalui penyelarasan pelbagai kementerian dan agensi dengan menawarkan lebih 1.2 juta peluang latihan berkualiti tinggi.
Peluang itu dimanfaatkan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Wakaf Bharu, Kelantan, Muhamad Faris Najwan Muhamad yang kini memiliki kemahiran dalam teknologi marin selepas menamatkan pengajian selama tiga tahun di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kuala Perlis dan memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 pada 2023.
Minatnya bermula sejak usia 15 tahun apabila berjaya membaiki enjin motosikal lama milik arwah datuknya hanya dengan merujuk video di YouTube.
Selepas tamat pengajian, Faris menjalani latihan industri di Aims Global Engineering di Pulau Duyung, Terengganu sebelum ditawarkan bekerja sebagai Junior Technician di syarikat James Fisher Offshore di Pasir Gudang, Johor pada Jun 2024.
Kerjaya itu turut membawanya merentas negara termasuk Taiwan, Australia dan India bagi menjalankan kerja kejuruteraan serta penyelenggaraan mesin di atas kapal di tengah laut.
Walaupun terpaksa berjauhan dengan keluarga untuk tempoh lama, Faris bersyukur peluang melalui TVET membolehkannya membina kerjaya dalam bidang teknologi marin hingga ke peringkat antarabangsa.-SAHIH.
