TUTUP TV KALAU TAK MINAT
SHAH ALAM: Susulan kenyataan bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh yang menggesa Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhenti mengadakan sidang media harian jika tiada pengumuman substantif yang dapat membantu rakyat, Puteri UMNO tampil memberikan respons hari ini.
Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan berkata, beliau setuju sekiranya sidang media tersebut dihentikan sekiranya ia sekadar propaganda dan fitnah memburukkan pihak lawan seperti yang dilakukan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.
Zahida Zarik Khan
“Bagi rakyat di bawah, setiap kemas kini maklumat harian berkenaan perkembangan COVID-19 yang disampaikan (Ismail Sabri) dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah amat penting.
“Masa 22 bulan jadi kerajaan, berapa banyak bantu rakyat? Selain 30 ringgit? Kalau DAP tak berminat, sila tutup televisyen dan telefon pintar kalian. Mudah,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Yeoh yang juga ahli Parlimen Segambut menerusi kenyataan beliau hari ini turut menggesa Majlis Keselamatan Negara (MKN) memuktamadkan semua prosedur operasi standard (SOP) sebelum dikeluarkan tanpa orang ramai perlu menunggu pengumuman kementerian lain sebagai rujukan.
Hannah Yeoh
Menurutnya, SOP panduan bekerja dari rumah (BDR) yang diumumkan sebelum ini terlalu umum dan sangat mengelirukan.
Jelasnya, arahan yang mengelirukan dan setengah masak mengakibatkan ketidakpastian kepada masyarakat terutama komuniti perniagaan dan mereka yang berkeluarga.
Sumber: Sinar Harian