TUTUP KEDAI MAKAN AKIBAT PKP, BERALIH JUAL BUAH PERAH
TUTUP KEDAI MAKAN AKIBAT PKP, BERALIH JUAL BUAH PERAH
JERANTUT: Menjual buah perah jeruk untuk mempelbagaikan hasil peniagaan bagi menambah pendapatan sekeluarga sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak awal tahun 2020 yang menghadkan pelbagai sekatan termasuk menutup kedai makan seorang penduduk di Felda Gelanggi Dua.
Pengusaha kedai makan itu, Mohd. Simin Abdullah, 54, melakukan pelbagai usaha untuk mencari rezeki antaranya menjual sayur-sayuran pada awal tahun ini dengan bekalan didapati daripada pekebun kecil di sekitar kawasan Felda itu.
“Setelah memperoleh modal hasil jualan sayur-sayuran, saya turut mencuba cabang jualan lain termasuk menjual buah-buahan bermusim seperti durian, rambutan, kundang dan dokong sejak tiga bulan lalu.
“Kini, musim buah mula berkurangan, saya mula menumpukan pula jualan buah tumbuhan liar iaitu isi buah perah jeruk pula, saya mendapat bekalan daripada kawasan Hulu Tembeling,” katanya.
Katanya, buah perah dibawa balik dan diproses dengan merebusnya beberapa kali dan kemudian isi atau isi rongnya direndam dan dijeruk dalam air garam selama beberapa hari.
“Isinya boleh dimakan dan rangup serta berlemak seperti kacang, kalau ditumbuk separa lumat dicampur dalam masakan berasaskan ikan sungai seperti tenggalan, baung, kenerak dan dibubuh pucuk paku, ubi dan sebagainya dikenali sebagai gulai asam rong,” katanya.
“Buah perah sangat digemari pelanggan malahan makanan ini mula dikenali serata tempat seperti negeri Johor, Melaka dan Lembah Kelang termasuk kawasan berdekatan negeri ini,” katanya.
Katanya, dia mula menggunakan media sosial Facebook, Instagram dan Whatsaap untuk memudahkan pelanggan memesan makanan itu untuk dijual secara ‘hantar dan bayar’ (COD) bagi kawasan terdekat, menggunakan khidmat kaurier kepada pelanggan di luar daerah dan negeri lain.
“Setiap bungkusan biji perah jeruk seberat satu kilogram dijual dengan harga RM12 dan kebanyakan pelanggan di luar Pahang, biasanya membuat pesanan seberat antara 10 hingga 30 kilogram.
“Saya turut menjual buah perah mentah kepada pelanggan yang mahu memproses sendiri untuk dijadikan makanan dengan harga yang sam, katanya.
Katanya, usaha perniagaan itu disokong kuat oleh isterinya, Ramlah Ahmad, 54, serta ibu mentua turut membantu merebus, menjeruk dan membungkus sehingga makanan itu sampai ke tangan pelanggan.
“Memandangkan keadaan wabak Covid-19 yang tidak menentu serta penguatkuasaan PKP berterusan, saya perlu berusaha dan jangan mengalah untuk mencari sumber tempatan yang ada untuk dijual bagi memperoleh pendapatan,” katanya.-SAHIH..