Tuntutan RM2.4 Juta Tak Berasas, Staf LSHSM Mohon Maaf
Tuntutan RM2.4 Juta Tak Berasas, Staf LSHSM Mohon Maaf
KUALA LUMPUR – Pihak Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. (MKLSB) menerima permohonan maaf secara terbuka daripada kakitangan Lembaga Syarikat Holding Sdn. Bhd. (LSHSM) susulan tindakan mereka mengemukakan tuntutan tidak berasas bernilai RM2.4 juta.
Tindakan tuntutan tersebut bukan sahaja disifatkan tidak berlandaskan fakta kukuh, malah menyebabkan MKLSB terpaksa berdepan prosiding Mahkamah Pekerja tanpa justifikasi kukuh.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MKLSB, Nazli Saad, permohonan maaf itu dibuat secara sukarela oleh pihak terlibat selepas dakwaan yang dikemukakan terbukti tidak berasas dan menjejaskan reputasi syarikat.
“Perkara ini dengan jelas menunjukkan kegagalan pihak LSHSM dalam aspek tadbir urus pentadbiran mereka, hingga memaksa MKLSB dibabitkan dalam tindakan undang-undang atas asas yang tidak sah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun, MKLSB memutuskan untuk menerima permohonan maaf tersebut tanpa mengenakan sebarang kos kepada pihak terbabit demi mengekalkan hubungan profesional dan mengelak isu berpanjangan.
Dalam masa sama, MKLSB turut menasihati LSHSM agar menumpukan perhatian kepada aspek kebajikan para pekerja Menara Kuala Lumpur yang kini berada di bawah pengurusan mereka.
“Adalah penting untuk memastikan kebajikan dan hak pekerja dipelihara serta tidak dimanipulasi demi kepentingan mana-mana pihak,” katanya lagi.
Nazli turut menegaskan bahawa insiden seumpama ini tidak seharusnya berulang agar kelangsungan operasi serta kredibiliti pengurusan Menara Kuala Lumpur kekal terpelihara.-SAHIH
