TUNGGU MAKLUMAT RASMI ARAB SAUDI
TUNGGU MAKLUMAT RASMI ARAB SAUDI
BENTONG: Malaysia perlu menunggu maklumat lengkap berkaitan kebenaran melakukan ibadat umrah dari kerajaan Arab Saudi sebelum proses permohonan visa dapat dilakukan secara rasmi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, semua maklumat itu sangat penting bagi mengelak berlaku kekeliruan atau timbul masalah apabila jemaah Malaysia sudah berlepas ke Mekah.
“Berkaitan dengan umrah, kami sedang mengutip sebanyak mungkin maklumat dan isu ini perlu dilihat secara menyeluruh kerana ia membabitkan visa dikeluarkan negara berkenaan.
“Ada disebut mengenai perlu mendapat visa pelancong terlebih dahulu sebelum boleh memohon visa umrah ketika sudah berada di Mekah.
“Perkara ini perlukan maklumat teliti dan terperinci kerana membabitkan urusan (hubungan) dua hala, iaitu kerajaan Malaysia dan Arab Saudi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Program Bantuan Musaadah 2021 Peringkat Pahang di sini, hari ini.
Dr Zulkifli berkata, kekeliruan berkaitan kebenaran menunaikan ibadat umrah itu perlu diselesaikan terlebih dahulu bagi mengelak jemaah Malaysia terkandas di sana kerana tidak memperoleh visa umrah apabila sudah tiba di Tanah Suci.-SAHIH