TUN MOHAMED SALLEH ABAS MENINGGAL DUNIA
TUN MOHAMED SALLEH ABAS MENINGGAL DUNIA
KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Dr Mohamed Salleh Abas meninggal dunia, pada usia 92 tahun, di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu pada jam 3.20 pagi tadi setelah di masukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu kelmarin.
Mohamed Salleh yang juga Pengerusi as-Salihin Trustee Berhad menerima rawatan di hospital berkenaan selepas disahkan positif Covid-19.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif as-Salihin Trustee Berhad, Abdul Aziz Peru Mohamed sebelum ini dalam satu kenyataan, mengesahkan Mohamed Salleh dijangkiti Covid-19 dan dirawat di ICU HSNZ kelmarin.
“Bagaimanapun, pihak hospital mengambil langkah berjaga-jaga atas faktor umur Tun (Mohamed Salleh),” katanya.
Allahyarham yang dilahirkan di Kampung Raja, Besut menjadi Ketua Hakim Negara pada 1984 hingga 1988 dan pernah memenangi kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih atas tiket PAS pada 1999.
Allahyarham melanjutkan pendidikannya di Universiti Wales, United Kingdom (UK) pada 1949 dan memperoleh ijazahnya dalam bidang undang-undang.
Beliau kembali ke Malaysia pada tahun 1957 dan menjadi majistret di Kota Bharu, Kelantan dan selepas kemerdekaan pada tahun yang sama, Salleh dipindahkan ke ibu negara Kuala Lumpur di mana beliau berkhidmat sebagai Penolong Pendakwa Raya.
Beliau kemudian pergi ke UK semula untuk memperoleh ijazah sarjananya dalam undang-undang antarabangsa dan perlembagaan di Universiti London dan dilantik sebagai Penasihat Undang-undang dan Penolong Pendakwa Raya untuk kedua-dua Negeri Sembilan dan Melaka pada 1962
Setahun kemudian, beliau pulang ke Kuala Lumpur dan menyandang berbagai-bagai jawatan di bawah Peguam Negara, dan akhirnya dilantik sebagai Peguam Cara Negara.