Tular Rakam Curi Wanita — Suspek Dicekup Orang Awam di Pekan Sehari
Tular Rakam Curi Wanita — Suspek Dicekup Orang Awam di Pekan Sehari
TEMERLOH : Seorang lelaki yang didakwa merakam gambar seorang wanita secara curi di Pekan Sehari Temerloh akhirnya dicekup orang awam sebelum diserahkan kepada polis dalam kejadian pada 9 November lalu, namun hanya tular di media sosial .
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, suspek berusia 41 tahun yang bekerja sebagai kerani itu ditahan sekitar jam 10 pagi selepas mangsa, seorang suri rumah berusia 33 tahun, menyedari perbuatan tidak senonohnya.
“Mangsa melihat suspek merakam gambarnya menggunakan telefon bimbit. Dengan bantuan orang awam, suspek berjaya ditahan di lokasi dan diserahkan kepada anggota polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Menurutnya, suspek dibawa ke balai dan ditahan selama 24 jam untuk siasatan lanjut sebelum dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu laporan analisis kandungan telefon bimbit yang dirampas bagi tujuan forensik digital.
Mohd Nasyim berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 509A Kanun Keseksaan kerana merakam imej seseorang tanpa kebenaran serta Seksyen 292 Kanun Keseksaan berkaitan bahan lucah.
“Walaupun kejadian berlaku pada 9 November, video dan maklumat mengenainya hanya tular hari ini. Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan spekulasi atau mendedahkan identiti mangsa,” katanya.
Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya segera melaporkan sebarang perbuatan mencurigakan kepada pihak polis bagi mengelakkan kejadian tidak diingini serta memastikan keselamatan orang awam.-SAHIH
