TUKANG KERANDA RUGI RM7.56 JUTA
JUAL BATU METEORIT HARGA RENDAH
SUMATERA: Seorang tukang keranda dari Sumatera Utara, Indonesia menzahirkan rasa kecewa selepas menjual batu dipercayai bongkah meteorit bernilai jutaan dolar pada harga Rp200 juta (kira-kira RM57,660).
Memetik laporan The Jakarta Post, Josua Hutagalung, 34, memberitahu dia rasa tertipu selepas menjual batu itu kepada pakar meteorit, Jared Collins dari Amerika Syarikat pada harga jauh lebih murah berbanding nilai sebenar mencecah AS$1.85 juta (RM7.56 juta).
JOSUA Hutagalung bersama batu meteorit ditemuinya awal bulan Ogos lalu
“Sekiranya itu benar, saya telah ditipu dan saya kecewa,” ujarnya selepas mengetahui harga sebenar batu itu.
Menurut Josua, dia dijanjikan harga Rp200 juta itu oleh Jared tidak termasuk tambahan Rp14 juta untuk membaiki bumbung rumahnya yang rosak.
“Saya telah menghabiskan semua Rp200 juta hasil daripada menjual batu itu untuk menolong keluarga, anak yatim, membina gereja dan membaiki kubur ibu bapa saya,” katanya.
Dalam kejadian pada 1 Ogos lalu, sebuah bongkah batu jatuh menembusi bumbung beranda rumah ketika leka Josua sedang menyiapkan keranda ditempah pelanggan.