TUJUH SJR, JALAN TUTUP, HALANG LORONG TIKUS ELAK PENULARAN WABAK DI TEMERLOH
TUJUH SJR, JALAN TUTUP, HALANG LORONG TIKUS ELAK PENULARAN WABAK DI TEMERLOH
TEMERLOH: Polis Di Raja Malaysia (PDRM) daerah Temerloh membuat tujuh Sekatan Jalan Raya (SJR), beberapa jalan ditutup serta memantau dan menghalang lorong tikus bagi membenteras penularan wabak Covid-19 yang semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini di daerah itu.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Superintenden Mohd Yusri Othman berkata, Ibupejabat Polis Daerah (IPD) ini sudah mengenal pasti laluan yang perlu disekat, penutupan beberapa jalan dan menghalang lorong tikus daripada dilalui oleh orang awam untuk bergerak tanpa memikirkan keselamatan diri dan orang lain.
“Semua penduduk di dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tidak dibenarkan keluar kecuali untuk bekerja dalam sektor perkhidmatan perlu sahaja.
“Selain itu, hanya seorang wakil keluarga yang dibenarkan keluar untuk mendapatkan barang keperluan mulai jam 8.00 pagi hingga 1.00 tengah hari, selain itu untuk urusan perubatan dan ke pusat pemberian vaksin hanya dibenarkan tiga orang sahaja dalam setiap kereta,”katanya.
Katanya, semua aktiviti penjajaan di tepi jalan, gerai makanan segera burger, trak makanan (food truck) dalam kawasan PKPD dilarang sama sekali.
“Orang ramai perlu memberi kerjsama dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan tidak perlu keluar rumah tanpa sebab, sangat penting sentiasa memakai pelitup muka. Tindakan kompaun akan dikenakan jika berada di luar rumah tanpa tujuan dan pelanggaran SOP.
“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan PKPD dikenakan di daerah ini ekoran situasi Covid-19 di dua buah mukim dalam di Temerloh iaitu Mukim Perak dan Mukim Bangau semakin membimbangkan,” katanya.
Katanya, KKM melaporkan terdapat peningkatan ketara kes baharu dalam tempoh 10 hari iaitu sebanyak 180 kes positif telah direkodkan hasil ujian saringan ke atas 1,433 orang di kedua-dua mukim tersebut.
Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD itu bermula dari 28 Mei sehingga 10 Jun 2021 untuk mengekang penularan jangkitan COVID-19 ke komuniti lain.
Antara kampung yang terlibat, Kampung Pamah Kaseh, Paya luas, Padang lalang, Seberang Temerloh, Paya Pulai dan Tanjung Batu. Manakala kampung lain yang terbabit, Bangau, Tanjung Besar, Gau Baru, Teluk Ira, Bangau Parit, Bukit Resak dan Bangau Tanjung.-SAHIH.