TUJUH RUMAH DINAIKI AIR SUNGAI JELAI
TUJUH RUMAH DINAIKI AIR SUNGAI JELAI
LIPIS – Tujuh buah rumah dinaiki air Sungai Jelai ekoran hujan lebat yang berterusan bermula awal pagi tadi
Selain itu, dua buah penempatan lain di Jelai turut dinaiki air, iaitu Kampung Kuala Medang dan Pos Betau berikutan paras air Sungai Jelai berdekatan kawasan berkenaan naik.
Ketua Zon 3 Jabatan Bomba dan penyelamat Pahang, Shahrul Nizam Nasir berkata, seramai lapan anggota bomba dari Balai Bomba Sungai Koyan bergegas ke lokasi untuk tujuan pemantauan setelah dimaklumkan oleh penduduk.
“Walau bagaimanapun cuma tujuh buah rumah di Sungai Koyan Satu dinaiki air dan tiada mangsa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di sini setakat ini.
“Kawasan rumah yang dinaiki air mula surut malam ini, tetapi paras air Sungai Jelai berdekatan kampung ini dilaporkan masih tinggi dan arusnya deras,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.
Shahrul Nizam berkata, penduduk juga turut membantu mengalihkan pokok dan batang kayu yang tersangkut di sebuah jambatan Sungai Jelai bagi memudahkan laluan air.
Katanya, anggota bomba terus membuat pemantauan menjelang tengah malam ini memandangkan keadaan cuaca musim tengkujuh sudah bermula di samping kenaikan paras air sungai utama, Sungai Jelai.-SAHIH.