7 LOLOS DARI PTS TAWAU
Berita Jenayah
TUJUH LEPAS LARI PTS TAWAU
TAWAU: Polis giat memburu tujuh lelaki warga Filipina dan Indonesia yang meloloskan diri dari Pusat Tahanan Sementara (PTS) di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian jam 2 pagi itu, sekumpulan 14 tahanan ditempatkan di sebuah blok di pusat tahanan itu dikatakan memanjat pagar sebelum meloloskan diri.
Bagaimanapun tujuh daripadanya berjaya ditahan semula oleh anggota dan pengawal bertugas di PTS terbabit sebelum laporan polis dibuat pada jam 10.30 pagi hari yang sama.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas, berkata siasatan awal mendapati kesemua tahanan warga Filipina dan Indonesia berumur antara 29 hingga 42 tahun itu ditempatkan di satu blok kuarantin sementara menunggu keputusan ujian saringan COVID-19.
“Ketika kejadian, pengadu yang sedang bertugas sebagai penyelia terdengar suara anggota menjerit meminta tolong apabila mendapati dua orang tahanan sedang memanjat pagar belakang blok berkenaan.
“Sepasukan anggota dan pengawal PTS kemudiannya melancarkan operasi memburu dan mengesan kesemua suspek sebelum berjaya menahan semula tujuh orang tahanan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Peter berkata, kesemua suspek adalah tahanan yang menunggu giliran untuk dihantar pulang ke negara asal masing-masing.
Katanya, susulan itu pihaknya melancarkan operasi khas Ops Tutup iaitu melakukan sekatan jalan raya di lokasi strategik bagi mengesan semua suspek terbabit.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai tujuh suspek terbabit diminta tampil ke balai polis berdekatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 223 dan 224 Kanun Keseksaan kerana melarikan diri dari pusat tahanan yang sah,” katanya.
Sumber: BH Online