TUJUH KAWASAN CATAT BACAAN IPU TIDAK SIHAT
TUJUH KAWASAN CATAT BACAAN IPU TIDAK SIHAT
KUALA LUMPUR: Tujuh kawasan mencatatkan bacaan status kualiti udara pada tahap tidak sihat iaitu lima di Selangor dan masing-masing satu di Kuala Lumpur dan Pahang.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata kawasan berkenaan ialah di Johan Setia, Klang (188), Banting (167), Petaling Jaya (133), Klang (107), Shah Alam (104), Cheras (111) dan Rompin (133).
Katanya, kualiti udara tidak sihat berikutan peningkatan kes pembakaran terbuka susulan keadaan cuaca panas dan kering sejak pertengahan Februari lalu hingga kini.
“Keadaan sedikit berjerebu di Lembah Klang pada hari ini pula berpunca daripada kebakaran hutan dan tanah gambut di Hutan Simpan Kuala Langat Selatan seluas 34 hektar sejak 24 Februari lalu.
“Selain itu, pembakaran terbuka daripada aktiviti pertanian tanah gambut di Johan Setia, Klang yang dikesan pada 5 Februari lalu dengan lima lokasi kebakaran membabitkan keluasan 1.21 hektar,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Sehingga jam 4 petang tadi, Jabatan Alam Sekitar (JAS) mencatatkan sembilan kawasan dengan status kualiti udara pada tahap baik dan 52 kawasan mencatatkan status kualiti udara pada tahap sederhana.
Katanya, JAS turut mengesan kebakaran belukar di kawasan Rompin dengan anggaran keluasan 4.04 hektar, sekali gus meningkatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di stesen kualiti udara Rompin, Pahang.
“Saya sudah mengarahkan JAS untuk menjalankan siasatan dan tindakan penguatkuasaan terhadap kes-kes pembakaran terbuka.
“Setakat ini, JAS sudah menyediakan enam kertas siasatan, mengeluarkan satu kompaun dan empat notis arahan serta arahan di lapangan, lapor BH Online.
“Tindakan tegas telah diambil kepada pemilik tanah, operator tapak pelupusan sampah dan pelaku yang menyebabkan pembakaran terbuka hingga menjejaskan kualiti udara,” katanya.