Tubuh Lembaga Durian, kawal kualiti dan harga
Foto atas : Datuk Seri Ir. Mohd. Soffi Abd. Razak menyerahkan peralatan pengurusan pengaliran kebun durian kepada pekebun durian
Tubuh Lembaga Durian, kawal kualiti dan harga
LIPIS : Kerajaan negeri bercadang menubuhkan Lembaga Durian Pahang (LDP) untuk mengawal kualiti dan memperkasakan pengeluaran durian tempatan serta harga bagi pasaran tempatan dan antarabangsa pada masa akan datang.
Selain itu LDP berperanan untuk mewujudkan standard buah durian yang terbaik dari jenis premium keluaran negeri ini sebagai menjaga imej durian Pahang yang sebenar.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Pahang, Datuk Seri Ir. Mohd. Soffi Abd. Razak berkata, LDP antara lain untuk membantu kalangan pekebun durian mengenai kemahiran pengurusan tanaman bagi meningkatkan hasil setiap musim bagi memenuhi jumlah permintaan yang semakin tinggi.
“Penubuhan LDP akan diteliti terlebih dahulu oleh penasihat undang-undang negeri serta dengan kerjasama berupa pandangan teknikal dengan Jabatan Pertanian Pahang dan pemain industri perkebunan di negeri ini.
“Cadangan ini telah dipersetujui oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta barisan ahli exco yang komited untuk memastikan pekebun dan pengeluar durian di negeri ini terus memainkan peranan proaktif meningkatkan hasil serta mencongak peluang yang lebih luas untuk pasaran tempatan dan antarabangsa,” katanya di Lubuk Hik, Budu dekat sini hari ini.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Program Penyerahan Insentif Permula Nurseri Durian dan Model Sistem Pengairan Durian yang disertai seramai 60 orang peserta di kalangan pekebun di mukim Budu dan mukim Tanjung Besar di Lubuk Hik, Budu, semalam.
Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Pertanian Pahang, Muhd. Rizal Baharom.
“Jabatan Pertanian dengan kerjasama beberapa agensi lain dan pemain sektor ini akan memastikan tanaman klon yang bermutu tinggi, pemantauan pengurusan dan teknikal di ladang dan kebun serta jaminan kualiti berasaskan Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP).
“Pada peringkat ini, fokus utama LDP antaranya memastikan pekebun menanam klon yang bermutu tinggi terutama pengusaha dan pekebun kecil bukan sahaja durian Musang King, IOI dan baka luar, malahan turut menggalakkan durian premium tempatan,” katanya.
Katanya, Jabatan Pertanian Pahang kini sedang berusaha menggalakkan lebih banyak tanaman dan pengeluaran durian premium dari cantuman klon durian kampung dengan memfokuskan pekebun di Raub, Lipis, Jerantut dan Bentong.
“Sejak 2019 menerusi usaha pekebun di Jerantut, Lipis, Bentong dan Raub dikenalpasti menerusi hasil pertandingan peringkat daerah dan negeri yang sudah dikenali serta memenuhi permintaan ramai pelanggan.
“Jumlah baka premium durian kampung masih kecil dan Jabatan Pertanian Pahang sedang menggiatkan usaha menerusi pendedahan kursus cantuman, pengurusan kebun dan buah untuk jaminan bukan sahaja mengisi pasaran tempatan malahan mampu melepasi peringkat antarabangsa,” katanya.
Katanya, secara tidak langsung membawa kembali generasi muda yang berhijrah ke bandar untuk balik ke kampung untuk mengusahakan kebun durian masing-masing di tanah yang masih kosong sebagai mata pencarian baharu.
“Walaupun durian yang ditanam dan diusahakan bukan untuk dijual, sekurang-kurangnya boleh makan sendiri oleh generasi muda dalam keluarga akan datang dan tidak perlu membeli apabila sampai musim durian.
“LDP menerusi Jabatan Pertanian akan memberikan tumpuan projek tanaman benih termasuk cantuman baka terbaik, pengurusan tanaman, pengeluaran buah durian serta kriteria harga supaya dapat menembusi pasaran luar sekali gus meningkatkan lagi jumlah permintaan sepanjang musim,” katanya.-SAHIH.