TRUMP DIKECAM PENGAMAL PERUBATAN
Berita Global
TRUMP DIKECAM PENGAMAL PERUBATAN
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, dikecam golongan perubatan yang marah dengan tindakan beliau melanggar peraturan, semalam, untuk menemui penyokongnya di luar hospital ketika sedang menjalani rawatan COVID-19.
Trump dilihat memakai pelitup muka berwarna gelap dan melambai dari dalam kenderaan kalis peluru ketika membuat kemunculan sekejap di luar Pusat Perubatan Tentera Walter Reed, dekat sini, yang dilihat sebagai tindakan bagi menunjukkan kesihatannya semakin pulih.
Tindakan itu menyusul selepas doktor Trump dilaporkan berpuas hati dengan perkembangan hasil rawatannya dan mencadangkan kemungkinan beliau dibenarkan keluar wad, hari ini.
Dalam satu taklimat sebelum ini, pasukan perubatan Trump memaklumkan, beliau mencatatkan pemulihan berterusan dan boleh kembali ke Rumah Putih yang memiliki kemudahan untuk merawat serta mengasingkan Presiden itu.
Bagaimanapun, pakar mengkritik tindakan Trump itu sebagai bukan hanya melanggar garis panduan kesihatan awam yang menetapkan pesakit perlu diasingkan ketika masih menjalani rawatan tetapi juga memudaratkan pasukan Secret Service yang melindungi beliau.
Trump telah berulang kali ditegur sebelum ini kerana melanggar garis panduan kesihatan awam serta menyebarkan maklumat salah berhubung pandemik COVID-19.
Sejurus sebelum membuat kemunculan sekejap di luar hospital itu, Trump memaklumkan menerusi satu rakaman video dimuat naik ke akaun Twitter bahawa beliau telah banyak belajar mengenai COVID-19 dengan betul-betul masuk sekolah ketika dirinya bergelut melawan jangkitan virus berkenaan.
Namun, pakar kesihatan membidas tindakan Trump keluar sekejap dari hospital itu sebagai menggambarkan beliau langsung tidak mengambil sebarang iktibar.
“Setiap orang di dalam kenderaan terbabit ketika Presiden mengambil tindakan yang tidak perlu sama sekali itu, kini perlu dikuarantin selama 14 hari.
“Mereka berkemungkinan akan jatuh sakit, malah boleh mati, untuk teater politik. Diarahkan Trump supaya memperjudikan nyawa mereka bagi tujuan itu. Ini adalah tindakan gila,” kata Ketua Perubatan Bencana di Universiti George Washington, James Phillips.
Pengerusi Jabatan Etika Perubatan dan Dasar Kesihatan di University of Pennsylvania, Zeke Emanuel pula menyifatkan tindakan Trump itu sebagai memalukan.
“Ejen Secret Service beliau terpaksa berada di dalam kenderaan bersama seorang pesakit COVID-19, malah dengan tingkap tertutup, meletakkan mereka dalam risiko jangkitan yang tidak perlu. Dan untuk apa? Satu stunt PR,” ciap beliau.
Sumber: AFP