Tren baharu Lipis-Gemas kembali beroperasi setelah terhenti sejak 2014
Tren baharu Lipis-Gemas kembali beroperasi setelah terhenti sejak 2014
JERANTUT – Orang ramai menyambut baik perkhidmatan tren Keretapi Tanah Melayu (KTM) yang menyambung kembali perkhidmatan yang terhenti agak lama bemula dari Stesen Lipis ke Gemas, Negeri Sembilan.
Perkhidmatan tren DMU (Diesel Multiple Unit) percuma selama tiga hari itu, mulai 21-23 Februari untuk menguji laluan dan sambutan orang ramai turut berhenti di Stesen Kerambit, Mela, Jerantut, Kuala Krau, Mentakab, Mengkarak, Triang, Kemayan, Bahau dan Gemas.
Menurut jurucakap di Stesen Jerantut berkata, tren SH35 memulakan perjalanan dari Lipis pada jam 11.52 pagi dan tiba di Gemas pada jam 4.33 petang.
Manakala tren SH38 yang bermula dari Stesen Gemas pada jam 12.00 tengah hari dan tiba di Lipis pada jam 4.26 petang.
Selain itu katanya, orang ramai boleh membeli tiket secara atas talian menggunakan aplikasi KTMB Mobile.
Seorang penumpang dari Jerantut berhasrat ke Gemas mengambil peluang perjalanan percuma dengan menggunakan DMU baharu, Hazaliza Kamruddin berkata, sudak agak lama perkhidmatan keretapi tidak beroperasi sejak Perintah kawalan Pergerakan (PKP).
“Perjalanan ini kebetulan ada majlis kenduri keluarga di sana di samping membawa anak mendapat pengalaman baharu dengan menaiki tren DMU ini.
“Diharapkan perkhidmatan ini berjalan lancar dan diteruskan bagi memberi kemudahan kepada orang ramai,” katanya ketika ditemui di Stesen Keretapi Jerantut, hari ini.
Seorang penumpang yang akan ke Gemas, Mohd Dagang Daud (56) berkata dia ke sana bersama keluarga selain mengalami perkhidmatan baharu trend an sudah agak lama tidak menaiki tren sejak 2014.
“Tidak silap saya sejak 2014 berlaku banjir dan dimaklumkan laluan ke Tumpat berlaku kerosakan dan ini merencatkan perjalanan Tumpat-Johor Bahru melalui Jerantut terhenti.
“Diberatkan lagi dengan pandemik yang berlaku sejak awal tahun 2020 dan tren tidak menjalankan perkhidmatannya,” katanya.
Penduduk Mela, Lipis, Mohd Safri Salleh berkata, kemudahan yang disediakan oleh KTMB itu dapat merancakkan kembali ekonomi penduduk setempat berasaskan pasaran hasil pertanian dan pelancongan.
“Saya amat menghargai usaha KTMB yang mengembalikan perkhidmatan tren ini semula di luar bandar Lipis khususnya singgah di stesen Mela berbanding sebelum ini terhenti sejak lebih 20 tahun berikutan selepas siap dibina jalan raya Kerambit ke Kuala Lipis.
“Perkhidmatan semula tren DMU ini amat bermakna kepada penduduk luar bandar khususnya mereka yang tidak mempunyai kenderaan, warga emas, pelajar ke sekolah malahan mereka yang berminat untuk perjalanan secara santai dan selamat ke destinasi pilihan masing-masing,” katanya ketika dihubungi di Kampung Mela dekat sini hari ini.
Ketua Kampung Mela, Rosli Ismail menambah, penduduk di situ juga berharap supaya perkhidmatan itu ada penambahbaikan selaras dengan pembangunan moden pengangkutan darat dan kompetitif di negara ini
“Saya dan penduduk luar bandar daerah ini sangat sinonim dengan perjalanan kereta api sejak daripada kecil dan kemudian terhenti akibat jalan raya dibina.
“Kita amat yakin perkhidmatan tren ini akan terus berfungsi memberikan perkhidmatan selesa dan terbaik, selain itu berharap KTMB dapat menukarkan ‘wajah’ baharu stesen Mela dan beberapa kampung lain yang menjadi persinggahan sejajar persaingan yang kompetitif serta tarikan pelawat, ” katanya.-SAHIH.