Treler rempuh lapan kenderaan di KM 40, Lebuhraya KLK
Treler rempuh lapan kenderaan di KM 40, Lebuhraya KLK
BENTONG – Sebuah lori treler jenis Volvo merempuh lapan buah kenderaan dalam kemalangan di Kilometer (KM) 40, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak pada jam 9.30 pagi, hari ini.
Sembilan kenderaan tersebut, 2 buah kenderaan pelbagai guna (MPV) iaitu Mitsubishi dan Toyota Estima, 5 buah kereta jenis Perodua Axia, Myvi, BMW, Toyota Vios, Proton Saga dan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dan lori treler jenis Volvo.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superitenden Zaiham Mohd Noor berkata, hasil siasatan didapati lori treler yang di pandu oleh seorang lelaki warganegara tempatan berusia 42 tahun yang datang dari arah Kuala Lumpur menghala ke Kuantan telah hilang kawalan dan merempuh kenderaan di hadapannya.
“Akibat kemalangan tersebut pemandu lori treler mengalami kecederaan ringan di bahagian lengan kanan dan dahi manakala pemandu-pemandu kenderaan yang lain tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kes disiasat di bawah seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang dari RM 4,000 dan tidak lebih RM10,000 dan boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 12 bulan,” katanya.
Tambahnya, tidak sampai 24 jam kemalangan ngeri yang berlaku dan meragut 4 nyawa sekeluarga yang melibatkan dua buah kenderaan di KM 2, Jalan Lebu-Mempaga menghala ke Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur di sini pada jam 3.10 petang, semalam.
Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati membawa kenderaan yang dipandu dan pastikan kenderaan masing-masing sentiasa dalam keadaan selamat dan diselenggara dengan baik terutama untuk perjalanan jauh sempena bercuti panjang.
“Pihak polis memohon orang ramai yang menyaksikan kejadian ini tampil untuk membantu siasatan,” katanya.-SAHIH