Treler masuk gaung, dua pemandu terselamat di Lebuhraya KLK
Treler masuk gaung, dua pemandu terselamat di Lebuhraya KLK
BENTONG – Dua orang pemandu treler warga tempatan terselamat dalam kemalangan jalan raya di Kilometer (KM) 43.3, Lebuhraya Kuala Lumpur ke Karak, menghala ke arah timur pada 29 Julai, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superitenden Zaiham Mohd Kahar berkata, dua pemandu treler tersebut masing-masing berusia 24 dan 30 tahun mengalami kecederaan dan dirawat di Hospital Bentong dan di hospital swasta.
Katanya, hasil siasatan, kejadian bermula sebuah treler dari Pelabuhan Klang menghala ke Kuantan dengan membawa muatan besi buruk telah hilang kawalan, treler itu terbabas dan terbalik kerana jalan licin kerana basah.
“Selang beberapa minit kejadian pertama, sebuah treler dengan membawa muatan kayu bergergaji dari arah belakang cuba mengelak ke kiri jalan.
“Akibatnya treler tersebut turut hilang kawalan dan melanggar batu penghadang jalan lalu terbalik dan masuk ke dalam gaung,” katanya melalui kenyataan media, hari ini.
Katanya, kejadian itu dirakam dan turut tular di media sosial melalui akaun tik tok milik @eynaredho berdurasi 1 minit 18 saat.
“Pemandu lori treler besi buruk telah mengalami kecederaan di bahagian belakang badan, tangan kiri dan kaki kanan dan mendapat rawatan di Hospital Bentong.
“Manakala, pemandu lori treler muatan kayu bergergaji pula mengalami kecederaan patah kaki dan tangan kanan, bahu kiri patah dan telah mendapat rawatan di hospital swasta,” katanya.
Katanya, kes disiasat di bawah seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sementara itu, katanya, sebanyak 224 kes kemalangan yang berlaku KM 40 hingga KM50 yang dicatatkan sejak Januari hingga Julai 2022 yang melibatkan pelbagai jenis kenderaan.
“Kemalangan yang melibatkan kereta sebanyak 164 kes, motosikal (14), lori (22) dan lain-lain sebanyak 22 kes sepanjang tempoh tersebut.
“Pengguna lebuh raya ini diharap sentiasa berhati-hati dan mematuhi arahan dan tanda jalan raya jika ada di kawasan itu,”katanya.-SAHIH.