Tragedi Adik Zara: Tengkorak Pecah, Organ Dalaman Rosak – Desakan Siasatan Telus Meningkat
Tragedi Adik Zara: Tengkorak Pecah, Organ Dalaman Rosak – Desakan Siasatan Telus Meningkat
KUALA LUMPUR – Orang ramai terus mendesak pihak berkuasa agar mengambil tindakan tegas, pantas dan telus berhubung kes tragis membabitkan seorang kanak-kanak perempuan, Adik Zara, yang dipercayai menjadi mangsa penderaan.
Menurut perkongsian Facebook , Syafiq Fadeli, keadaan mangsa ketika tiba di hospital amat menyayat hati apabila dia didapati mengalami kecederaan dalaman dan luaran yang teruk.
“Keadaan kepala lembik dan berair apabila disentuh, tengkorak pecah serta otak disahkan mati (brain death).
“Tengkuk seperti patah namun tiada darah keluar. Darah hanya mengalir dari bahagian kaki,” katanya dalam satu hantaran yang kini tular di media sosial.
Lebih menyedihkan, saraf tunjang dipercayai putus atau mengalami kerosakan teruk yang berisiko mengakibatkan lumpuh dan kegagalan sistem utama badan.
Selain itu, organ dalaman turut dilaporkan rosak dengan jantung membengkak, tangan dan kaki patah, manakala kaki kiri terkehel dari buku lali.
Difahamkan, kemungkinan besar berlaku pendarahan dalaman apabila arteri utama terputus. Walaupun tiada pendarahan luaran, darah terkumpul dalam rongga badan sehingga menyebabkan kegagalan organ dan pembengkakan jantung.
“Ini bukan kecuaian biasa. Ini satu kezaliman,” tulis seorang pengguna media sosial yang turut berkongsi hantaran berkenaan.
Orang ramai menggesa agar siasatan menyeluruh dilakukan dengan segera bagi memastikan keadilan ditegakkan buat Adik Zara yang kini menjadi simbol mangsa penderaan kanak-kanak di negara ini.
Setakat ini, pihak berkuasa masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung perkembangan kes berkenaan.-SAHIH