Tradisi Geng Mangkuk Tingkat diteruskan di Pelangai
Tradisi Geng Mangkuk Tingkat diteruskan di Pelangai
BENTONG – Sudah menjadi tradisi setiap kali ADUN Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam balik kawasan, dia akan menyantuni seberapa ramai penduduk yang sempat ditemui.
Kunjungan itu lebih bermakna ketika bulan Ramadan dengan konsep Geng Mangkuk Tingkat yang diperkenalkannya.
Melalui hantaran di Facebook miliknya, Amizar memaklumkan dia meluangkan masa sebelum berbuka puasa dengan ‘berjalan-jalan’ di sekitar Kampung Shafie, dekat Simpang Pelangai.
“Macam biasa lah, juadah berbuka serba sedikit dalam mangkuk tingkat, barangan asas dan sumbangan ikhlas daripada saya kepada rumah-rumah yang saya sempat ziarah tadi,” katanya.
Amizar kemudiannya ke Masjid Kampung Shafie untuk bersama kariah dan jemaah berbuka puasa.
“Kita buat konsep ‘pot luck’ sebab Kampung Shafie ini memang terkenal, makanan semuanya sedap belaka.
“Konsep ‘pot-luck iftar’ ini saya bawakan dengan niat cuma satu, nikmat yang dikongsikan bersama membawa keikhlasan dan kesederhanaan dalam makanan membawa keberkatan.
“Hujungnya kita mahukan pahala dan ukhwah yang tiada tolok bandingnya… lagi-lagi dalam bulan suci Ramadan ni,” katanya lagi.
Selain itu katanya, konsep ‘pot luck’ juga dapat menyelami suasana Ramadan di Palestin, di mana saudara seagama kita menjalani ibadat puasa dengan serba sederhana.— SAHIH