Tony Pua ‘nakal’ dan perlu minta maaf
Tony Pua ‘nakal’ dan perlu minta maaf
KUANTAN – Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO Jerantut, Razak Daud menyifatkan tindakan bekas ahli parlimen DAP, Tony Pua mempersoalkan keputusan Lembaga Pengampunan sebagai ‘nakal’ dan ‘kurang cermat’.
Razak turut menyokong kenyataan dibuat Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Naib Presiden UMNO yang membidas tindakan Tony itu.
“Saya lihat Tony Pua seperti sengaja mencari jalan untuk mendapat publisiti murahan.
Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail…
“Jadi saya fikir pemimpin DAP boleh menasihatkan Tony supaya lebih berhati-hati apabila mengeluarkan pandangan.
“Kita tidak mahu keharmonian yang wujud dalam Kerajaan Perpaduan ketika ini berdepan ‘gangguan’ daripada seorang dua pemimpin yang ‘nakal’ apabila bercakap dalam isu sensitif seperti keputusan dibuat Lembaga Pengampunan.
“Sepatutnya semua pihak menghormati keputusan itu dan melihat ke depan untuk mencari jalan menuntut supaya keadilan diberikan kepada bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak,” katanya melalui satu kenyataan media, hari ini.
Terdahulu, Wan Rosdy pagi tadi membidas tindakan Tony yang dilihat sebagai ‘kurang sesuai’.
Beliau turut mendesak agar Tony mengemukakan permohonan maaf secara terbuka atas tindakan dilakukannya yang seolah-olah mempersoalkan keputusan dibuat Lembaga Pengampunan dalam kes Najib.
Jumaat lalu, Lembaga Pengampunan mengumumkan tempoh hukuman penjara terhadap Najib dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun, yang bermakna dia akan dibebaskan dari penjara pada 23 Ogos 2028.
Lembaga itu turut mengurangkan denda dikenakan ke atas Najib daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Selepas keputusan Lembaga Pengampunan itu diketahui umum, Pua membuat beberapa hantaran di Facebook memberi maklum balas terhadap keputusan berkenaan.- SAHIH