TOLAK BELANJAWAN, DENGAR RINTIHAN RAKYAT
KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr Mohd Puad Zarkashi menyarankan Belanjawan 2021 ditolak di peringkat jawatankuasa kerana didakwa tidak menepati janji kepada rakyat.
Memetik laporan Malaysiapost, Puad berkata, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin didakwa tidak menepati janji sebaliknya melakukan helah hanya untuk mendapat sokongan kelulusan Belanjawan 2021 di peringkat dasar.
AHLI MT UMNO, DR MOHD PUAD ZARKASHI
“Memang PM ke 8 tidak hormati janji mereka. Rupanya janji supaya MP sokong Bajet di peringkat Dasar hanya helah.
“Rakyat kena kencing, Ahli Parlimen pun kena kencing. Saya tumpang baca komen rakyat dalam banyak grup WhatsApp dan Facebook (FB) termasuk FB Datuk Najib,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Puad berkata, ternyata rakyat marah kerana janji yang ditaburkan tidak ditepati.
“Justeru tolak sahajalah (Belanjawan) di peringkat jawatankuasa bajet beberapa Kementerian lain seperti KPKT dan KKMM.
“Parlimen akan tamat 17 Disember ini. Rakyat mahu melihat Parlimen berfungsi membela kelangsungan hidup mereka,” katanya.
Baru-baru ini, kebanyakan rakyat meluahkan rasa kecewa dengan pengumuman yang telah dibuat oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengenai dua kriteria kelayakan untuk memohon i-Sinar.
Bekas Perdana Menteri, Najib Razak menyifatkan tindakan yang dibuat KWSP berhubung isu pengeluaran i-Sinar amatlah tidak wajar kerana duit caruman itu sebenarnya hak milik rakyat.