Tokwan Bangga MTNP Tersenarai Lima Terbaik SPM Kebangsaan
Tokwan Bangga MTNP Tersenarai Lima Terbaik SPM Kebangsaan
KUANTAN – Malam tadi menjadi detik penuh bermakna apabila Pengerusi Lembaga Pengarah Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP), yang mesra digelar Tokwan, meluangkan masa menyantuni pelajar-pelajar cemerlang yang memperoleh keputusan semua A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.
Dalam satu majlis ringkas namun penuh bererti di MTNP, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail melahirkan rasa bangga terhadap pencapaian luar biasa institusi itu yang terus mengukuhkan kedudukan sebagai sekolah terbaik di Pahang dan tersenarai dalam lima terbaik di peringkat kebangsaan.
“Sebagai Pengerusi, saya amat berbangga dengan Gred Purata Sekolah (GPS) MTNP tahun ini iaitu 1.15. Ini membuktikan komitmen tinggi semua pihak dalam memastikan kejayaan pelajar, bukan sahaja dalam akademik, malah dalam hafazan Al-Quran,” katanya.
Wan Rosdy turut mengucapkan tahniah kepada seluruh warga MTNP termasuk pengurusan, kakitangan serta para pelajar atas usaha gigih dan kesungguhan mereka.
Beliau berharap kejayaan ini akan terus menjadi inspirasi kepada generasi muda Pahang dan membuktikan bahawa kecemerlangan duniawi dan ukhrawi mampu digabungkan dengan jayanya.
“Prestasi dipertingkat, kemakmuran dipertahan,” ujarnya mengakhiri ucapan penuh semangat malam tadi.
Majlis turut diserikan dengan sesi bergambar dan penyampaian saguhati kepada pelajar cemerlang.-SAHIH