TOK GAJAH KINI DIKENALI SERI PAHANG FC
Berita Sukan
TOK GAJAH KINI DIKENALI SERI PAHANG FC
KUANTAN: Jika Kedah akan dikenali sebagai Darul Aman FC sebagai nama baru pasukan negeri itu untuk Liga M, skuad Tok Gajah pula memilih nama Seri Pahang FC.
Hal itu diumumkan pengurus pasukan terbabit, Mohammed Suffian Awang hari ini.
Kata Suffian, Pahang sudah melengkapkan proses penswastaan pasukan itu seperti diarahkan FAM.
Dengan itu juga, katanya, Seri Pahang FC layak untuk beraksi dalam Liga M musim depan.
“Saya harap pemain lebih fokus dan bersemangat memungut tiga mata ketika menentang Perak pada Sabtu ini dan Terengganu FC nanti bagi mencerahkan peluang ke Piala Malaysia,” katanya seperti dipetik Utusan Online.
FAM meletakkan syarat kepada semua pasukan yang menyertai Liga M agar melengkapkan proses penswastaan masing-masing selewat-lewatnya tengah malam ini.
Petang tadi Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor mengumumkan skuad negeri itu akan dikenali sebagai Darul Aman FC pada masa depan.
Kata Sanusi nama itu dipilih bagi mengelakkan skuad Kedah dikaitkan dengan jenama rangkaian restoran makanan segera terkenal, KFC.
Namun ia mengundang reaksi negatif sesetengah peminat.
Antara lain mereka beranggapan ada cara lain untuk Kedah mengelak daripada dikaitkan dengan penyedia ayam goreng segera itu. Misalnya memilih nama yang menampakkan ciri kemelayuan.
Kata Suffian, walaupun proses penswastaan pasukan Pahang bermula agak lewat, namun ia berjaya disempurnakan mengikut tempoh yang ditetapkan hasil kerjasama semua pihak.
Dia juga yakin kejayaan itu akan membuat pasukan Pahang lebih yakin memburu tempat ke Piala Malaysia.