TKKR RACING TEAM GUNA JENTERA BARU
TKKR RACING TEAM GUNA JENTERA BARU
KUALA LUMPUR: Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS musim ini dijangka sengit dan mendebarkan apabila buat julung kali jentera Benelli turut bersaing kelas perdana CP150.
Ini selepas pasukan berpangkalan di Seremban, TKKR Racing Team bercadang menggunakan jentera Benelli.
Prinsipal pasukan, Bobie Farid berkata, TKKR bakal menurunkan dua pasukan bagi menghadapi kelas perdana itu dengan pasukan senior kekal menggunakan jentera Yamaha manakala junior bersaing dengan motosikal Benelli.
GAMBAR IHSAN BH ONLINE
“Selepas 27 musim bersaing, kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS masih didominasi Honda dan Yamaha,” kata Bobie.
“Menerusi percaturan terbaru ini, pasukan kami berniat merancakkan lagi persaingan dalam kelas perdana itu.”
Sebelum ini, pasukan yang berada di tangga kelima daripada lapan pasukan keseluruhan dalam kelas CP150 bagi musim lalu itu sudah melakukan usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) selama setahun bersama jentera Benelli, lapor BH Online.
“Buat masa ini, kami akan menggandingkan dua pelumba muda, Mohd Syafieq Aiman Mohd Fauzi dan Mohd Faiz Zekri Sabri dalam pasukan junior CP150,” kata Bobie mengenai senarai pelumbanya musim ini.
GAMBAR IHSAN BH ONLINE
“Persaingan musim 2021, jentera Benelli secara rasminya akan turun litar buat kali pertamanya. Jadi, kami tidak akan menetapkan sasaran untuk tahun pertama ini kerana kami memerlukan banyak lagi data daripada perlumbaan sebenar untuk terus memajukan jentera ini,” tambahnya.