TIPU PELABURAN WANG TAK WUJUD
Berita Mahkamah
PELABURAN BANCUS COINT KONON TAWAR PULANGAN LUMAYAN
IPOH: Sepasang suami isteri didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh, hari ini dengan tiga pertuduhan menipu berkaitan pelaburan wang jenis Bancus Coint berjumlah RM12,867.30 tahun lalu.
Tertuduh, Chai Koon Shong, 44, dan isterinya, Ng Kah Lai, 46, tidak mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret, Noor Azreen Liana Mohd Darus.
Pasangan itu didakwa memperdayakan Hoi Kim Tan, 58, untuk mempercayai dapat memberikan pulangan pelaburan Bancus Coint yang tinggi dengan mendorong untuk memasukkan wang berjumlah RM4,366.50 ke dalam akaun bank atas nama syarikat milik mereka.
Mengikut laporan BH Online, tertuduh melakukan kesalahan itu di RHB Bank Cawangan Menglembu pada jam 1.45 petang pada 4 November 2019.
Kedua-dua tertuduh juga didakwa atas dua tuduhan sama iaitu menipu Leong Mei lai, 44, membabitkan wang masing-masing berjumlah RM5,000 dan RM3,500.80 di Public Bank Cawangan Jalan Besar Pasir Puteh antara jam 1.34 hingga 1.48 petang pada 1 Mei 2019.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari 10 tahun dan dengan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Siti Hajar Mohd Yusof dan tertuduh diwakili peguam bela M Mahendra.
Terdahulu, Siti Hajar menawarkan RM9,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 setiap seorang dan menetapkan 11 Disember ini untuk sebutan semula kes.