TINDAKAN ANWAR HANYA GIMIK
Berita Politik
TINDAKAN ANWAR HANYA GIMIK
KUALA LUMPUR: Tindakan Presiden PKR, Anwar Ibrahim mendakwa mempunyai sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan hanya gimik ulangan yang pernah dilakukan pada September 2008.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tindakan itu juga seakan mahu mempengaruhi pengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Sabtu ini.
“Mungkin untuk cuba mempengaruhi pengundi Sabah yang akan membuang undi 26 September ini,” katanya kepada BH di sini, hari ini.
Beliau juga berkata, setakat ini, UMNO masih kekal menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan sebarang perubahan mesti diputuskan dalam parti.
“UMNO masih lagi bersama untuk mendokong dan menyokong kerajaan PN… jika ada sebarang perubahan pendirian, ia mestilah diputuskan oleh parti,” katanya.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson mengumumkan mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan persekutuan.
Sementara itu, Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, orang politik, terutama Ahli Parlimen tidak boleh bertindak di luar Dewan Rakyat biarpun memiliki surat akuan bersumpah (SD) lebih daripada separuh bilangan ahli Dewan Rakyat.
“Ini semua tidak bermakna. Lucut atau tidak kuasa pemerintahan ditentukan dalam Dewan Rakyat dengan ahli yang dapat hadir sendiri mengundi dan tidak boleh dilakukan secara proksi atau diwakili melalui SD.
“Perdana Menteri mesti menghadap (Yang di-Pertuan) Agong apabila beliau hilang sokongan untuk meletak jawatan Perdana Menteri dan mohon sama ada Agong bubar Parlimen untuk mengada PRU (Pilihan Raya Umum) atau melantik Ahli Parlimen lain yang (Baginda) Tuanku berpendapat mempunyai sokongan majoriti ahli dalam Dewan Rakyat,” katanya.