TIMBANG TANGGUH SAINGAN PIALA MALAYSIA
FAM MINTA MKN LEBIH REALISTIK
KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menggesa Majlis Keselamatan Negara (MKN) membuat pertimbangan wajar berhubung keputusan menangguhkan saingan kempen Piala Malaysia musim ini.
Menurut Harian Metro, Exco Media FAM, Christopher Raj dipetik sebagai berkata, pertimbangan tersebut wajar mengambil kira beberapa faktor termasuk kerugian yang bakal ditanggung pasukan-pasukan terlibat.
“Ada beberapa faktor yang perlu diambil kira oleh MKN. Pertama, pertandingan boleh dijalankan di gelanggang yang terletak di negeri bukan di bawah PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) misalnya di Pahang, Kelantan dan Perlis.
“Kedua, kepadatan jadual akan dirasai oleh pasukan sekiranya Piala Malaysia ditangguh sehingga tahun 2021 dengan mengambil kira kalendar pertandingan AFC (Konfederasi Bolasepak Asia).
“Ketiga, setiap pasukan perlu membayar gaji pemain dan pegawai sehingga Disember. Ini akan mengakibatkan kerugian kepada pasukan.
“Keempat, tiada kes COVID-19 membabitkan pemain dan pegawai bola sepak. Mereka sudah menjalani swab test sebelum pertandingan dijalankan dan sudah menjalani kuarantin kendiri,” katanya.
Kempen Liga Malaysia disambung semula pada September lalu selepas ia ditangguhkan hampir selama lima bulan disebabkan penularan wabak COVID-19.
Bagaimanapun, tambahnya lagi, semua pasukan termasuk pemain dan pegawai sudah menjalani ujian kesihatan seperti swab test mengikut garis panduan dikeluarkan Kementerian Kesihatan ketika memulakan kempen kejuaraan musim ini.
Perjalanan kempen Liga Malaysia 2020 sekali lagi terhenti apabila Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kelmarin memutuskan untuk menangguhkan saingan Piala Malaysia.
Penangguhan tersebut bagaimanapun dikritik pengurusan pasukan-pasukan bertanding kerana mereka bakal menanggung kos membayar gaji pemain.
Keputusan penangguhan itu sekali gus memaksa pasukan-pasukan mencari dana tambahan untuk membayar gaji pemain.
“Kehadiran di stadium hanya membabitkan pemain, pegawai pasukan, pegawai pertandingan, ball boy, anggota perubatan, anggota keselamatan, petugas media, dan krew penyiaran tanpa kehadiran penonton.
“Mohon pihak MKN dapat berbincang dulu dengan pemegang taruh untuk mencari solusi terbaik. Saya yakin pasukan sentiasa patuh dan mengamalkan SOP yang disediakan dalam memastikan penularan COVID-19 dapat dikawal,” katanya.