TIM TOK WAN BANTU SEGERA LELAKI SUSAH
TIM TOK WAN BANTU SEGERA LELAKI SUSAH
KUALA LUMPUR – Tindakan pantas pasukan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (Tok Wan) membantu seorang lelaki yang kehilangan pekerjaan mendapat pujian selepas kes itu diselesaikan dalam tempoh sejam sahaja.
Wakil Tim Demi Negara berkata, pihaknya menerima laporan mengenai seorang lelaki yang kehilangan kerja beberapa bulan lalu dan kini hidup dalam kesempitan bersama isteri serta dua anaknya.
“Disebabkan tidak mampu membayar sewa, keluarga ini diarah keluar oleh tuan rumah. Isteri bersama dua anak kini menumpang di rumah rakan, manakala lelaki berkenaan tidur di surau serta tiada wang untuk makan,” katanya.
Menurutnya, selepas membuat semakan latar belakang dan berbincang dengan lelaki terbabit, mereka mendapati bantuan segera amat diperlukan sebelum menghubungi pasukan Tok Wan sekitar jam 3 petang semalam.
“Saya tidak sangka, kira-kira jam 4.10 petang pasukan Tok Wan menghubungi semula dan menghantar gambar mereka bersama lelaki yang memohon bantuan itu.
“Saya benar-benar terkejut kerana dalam tempoh sejam sahaja mereka turun padang dan menyelesaikan kes ini,” katanya dalam satu hantaran video di media sosial.
Beliau berkata, tindakan pantas itu menunjukkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap nasib rakyat yang terjejas serta wajar dijadikan contoh kepada pemimpin lain.
“Saya difahamkan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) juga akan membuat susulan bagi membantu keluarga ini.
“Saya ingin ucapkan tahniah dan terima kasih kepada Tok Wan serta pasukannya yang begitu efisien dan cakna,” katanya.
Menurutnya, kecekapan pasukan Tok Wan jauh berbeza berbanding beberapa pemimpin lain yang lambat turun padang meskipun dimaklumkan ada kes di kawasan masing-masing.
“Saya menyeru mana-mana YB, menteri dan wakil rakyat supaya mencontohi kecekapan pasukan Menteri Besar Pahang yang cepat menyantuni rakyat,” katanya.-SAHIH