Tiga PPS dibuka di Raub awal pagi ini, satu ditutup di Jerantut
Foto atas : Anggota APm membawa mangsa ke tempat selepas selepas rumah mangsa dinaiki air awal pagi ini.
Tiga PPS dibuka di Raub awal pagi ini, satu ditutup di Jerantut.
RAUB : Tiga buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di daerah ini dengan menempatkan 142 mangsa daripada 35 keluarga pada awal pagi hari ini.
PPS Surau kampung Peruas dibuka pada jam 12.40 pagi, PPS Dewan Pamah Kulat dibuka pada jam 3.00 pagi dan PPS Pertanian Pamah Rawas pada jam 3.30 pagi ini.
Semua PPS itu dibuka susulan berlaku hujan lebat yang berterusan di sekitar kawasan Raub menyebabkan paras air sungai melebihi paras bahaya dan melimpah ke tebing di kawasan Kampung Peruas, Pamah Rawas dan Pamah Kulat di Ulu Dong.
Tindakan menyelamat dan memindahkan mangsa dilakukan oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta melakukan pemantauan kejadian banjir kilat di sekitar kampung terlibat disertaikan agensi kerajaan lain seperti pihak polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jawatankuasa Kemakmuran dan Kemajuan Kampung (JKKK) dan pihak Bomba dan Penyelamat.
Sementara itu di Jerantut, status keseluruhan paras air di Sungai Pahang di Stesen Sungai Yap berada pada paras waspada dengan trend menaik dan Stesen Jerantut Feri turut berada pada paras amaran dengan trend menaik.
Manakala Stesen Sungai Tembeling di Kuala Tahan berada pada paras waspada dam Stesen Kampung Merting berada pada paras amaran tetapi kedua-dua sungai ini pada trend menurun.
PPS di Sekolah Kebangsaan FELDA Kota Gelanggi Satu yang dibuka semalam bagi menempatkan mangsa kejadian banjir di situ ditutup pada jam 11.00 pagi, hari ini. Namun begitu, keadaan akan terus dipantau dari semasa ke semasa.-SAHIH.