Tiga PPS dibuka, banjir kilat melanda Raub
Tiga PPS dibuka, banjir kilat melanda Raub
RAUB – Tiga buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Batu Malim dekat sini dibuka semula apabila berlaku banjir kilat, hari ini
Katua Zon 3, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang, Penguasa Bomba, Shahrul Nizam Nasir berkata, PPS yang dibuka di balai raya Kampung Ulu Sungai pada jam 4 pagi, Masjid Jamek Kuala Semantan, (7 pagi) dan Pusat Kegiatan Wanita (PKW) Batu Malim (1.30 pagi).
“PPS Kampung Ulu Sungai menempatkan seramai 17 orang mangsa daripada 7 buah keluarga dan PPS PKW Batu Malim melibatkan pemindahan sebuah keluarga terdiri daripada lapan orang.
“Bagi PPS Masjid Jamek Kuala Semantan seramai 17 orang mangsa daripada lima buah keluarga dari Kampung Kuala Semantan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Shahrul Nizam, pembukaan PPS untuk penginapan mangsa di situ berikutan air Sungai Lipis melimpah di kawasan hilir iaitu Batu Malim daerah ini sedalam 115.40 meter melepasi paras bahaya iaitu 114.80 meter.
“Anggota Bomba dan Penyelamat daerah ini terus memantau keadaan banjir kilat dan bersedia untuk membantu tugas pemindahan sekiranya air Sungai Lipis di Batu Malim melimpah ke penempatan lain.
“Banjir kilat ini berlaku berikutan hujan lebat dalam tempoh empat hari minggu ini menyebabkan air Sungai Lipis melimpah,” katanya.- SAHIH.