TIGA PETUGAS MEDIA WANITA DIBUNUH
TIGA PETUGAS MEDIA WANITA DIBUNUH
JALALABAD: Tiga petugas media wanita ditembak dan dibunuh di timur Afghanistan hari ini, lapor rangkaian televisyen.
Pengarah Ekinass TV, Zalmai Latifi, memberitahu AFP bahawa tragedi berkenaan adalah sasaran pembunuhan terbaru yang menggegarkan negara dilanda konflik perang itu
“Mereka semua mati. Mereka pulang dari pejabat dengan berjalan kaki ketika mereka ditembak,” katanya.
Tambah Latifi, wanita terbabit terbunuh dalam dua serangan berasingan dan ketiga-ketiga mereka bekerja di jabatan alih suara untuk sebuah syarikat penyiaran.
Seorang jurucakap di hospital wilayah Nangarhar, Zahir Adel, turut mengesahkan kematian tiga mangsa wanita terbabit.
Setakat ini, tiada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab atas serangan terbabit.
Di Afghanistan, wartawan, cendekiawan agama, aktivis dan hakim menjadi sasaran gerakan pembunuhan politik baru-baru ini, sehingga mencetuskan suasana panik di negara berkenaan serta memaksa ramai orang bersembunyi.
GAMBAR IHSAN AFP
Bahkan, ada juga yang melarikan diri dari negara itu.
Jumlah pembunuhan semakin meruncing sejak rundingan damai dilancarkan pada tahun lalu antara kerajaan Afghanistan dengan Taliban.
Proses rundingan damai itu adalah langkah terakhir bagi mengakhiri konflik yang berlarutan selama puluhan tahun.