Tiga Muka Baru BN Bertanding Di Jerantut
JERANTUT – Tiga muka baru akan dipertaruhkan oleh Barisan Nasional (BN) di kawasan Parlimen Jerantut untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November nanti.
Calon-calon yang bakal bertanding ialah Setiausaha UMNO Bahagian Jerantut, Datuk Zukarmi Abu Bakar, Ketua Pemuda UMNO Bahagian, Muhamad Fasal Jamlus dan Ketua Puteri UMNO Bahagian, Faezah Ishak.
Datuk Ahmad Nazlan Idri memberi kepercayaan kepada Zukarmi untuk menggantikannya di kerusi Parlimen Jerantut selepas memenangi dua penggal berturut-turut.
Muhamad Fasal dan Faezah akan merampas semula kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Damak serta Tahan yang sebelum ini diwakili oleh wakil rakyat PAS pada PRU14 yang lalu.
Bagaimanapun, Datuk Nazri Ngah bertanding untuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar buat kali kedua di tempat yang sama.
Keputusan PRU14 yang lepas, BN telah memenangi dua kerusi di Parlimen Jerantut dan DUN Pulau Tawar manakala PAS menang di DUN Damak dan Tahan.