Tiga masih hilang, dalam kejadian banjir lumpur di Bentong
Tiga masih hilang, dalam kejadian banjir lumpur di Bentong
Foto atas: Antara mangsa yang diselamatkan.
BENTONG : Tiga mangsa, masing-masing seorang lelaki dan perempuan dewasa serta seorang kanak-kanak lelaki hilang daripada 35 mangsa yang berjaya diselamatkan dalam kejadian banjir lumpur yang deras di Chalet Bobby Echo Camp, dekat sini, pada Sabtu.
Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang (JBPP) telah menerima panggilan kecemasan pada jam 10.40 malam semalam dan menggerakkan anggota Balai Bomba Penyelamat (BBP) Genting Highlands serta mendapat bantuan daripada BBP Gombak, Kuala Lumpur bergegas ke lokasi kejadian.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi JBPP berkata, pasukan Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) juga telah digerakkan bagi operasi menyelamat mangsa berkenaan.
“Kita menerima laporan mangsa sebelum kejadian ini, mereka mengalami kesejukan dan tidak berani menginap di dalam chalet kerana bimbang tidak selamat daripada ancaman arus sungai yang deras serta lumpur.
“Kejadian pada pukul 4.09 pagi hari ini, semua mangsa telah ditemui dan operasi menyelamat tamat pada pukul 8.30 pagi hari ini (Ahad) ,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, namun, ketika siasatan dan kiraan semula bilangan sebenar penghuni chalet berkenaan, didapati tiga orang hilang dan dipercayai dibawa arus sungai dan banjir lumpur.
“Mangsa yang belum ditemui, iaitu masing-masing seorang lelaki dan perempuan dewasa serta seorang kanak-kanak lelaki, Pusat Gerakan Operasi menyambung kembali operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ini dengan disertai bantuan tujuh orang anggota daripada unit pengesan bersama tiga ekor anjing (K9),” katanya.
Katanya, operasi tersebut melibatkan seramai 22 orang anggota bomba dan penyelamat diketuai oleh Ketua Balai Bomba Genting Highlands, Penolong Penguasa Bomba, Yusri Abdullah Sani.
“Operasi disambung hari ini bergerak sejauh 300 meter berdekatan chalet tempat berlaku kejadian itu, namun mangsa belum ditemui.
“Mangsa yang selamat dalam kejadian banjir lumpur itu seramai 24 orang dewasa dan lapan orang kanak-kanak, operasi ditangguhkan pada pukul 6.30 petang hari ini dan akan disambung esok,” katanya.-SAHIH.