Tiga Mangsa Ribut Terima Bantuan Segera, Pegawai Daerah Turun Padang
Tiga Mangsa Ribut Terima Bantuan Segera, Pegawai Daerah Turun Padang
TEMERLOH – Sebanyak tiga lokasi di sekitar daerah Temerloh menjadi tumpuan dalam program Santuni Mangsa Bencana Daerah Temerloh yang berlangsung hari ini.
Program yang dijalankan dengan penuh keprihatinan ini diketuai oleh Pegawai Daerah Temerloh, YH Datuk Khairur Rizal Ramli yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) serta Tabung Malapetaka Daerah (TMD) Temerloh.
Turut hadir dalam ziarah tersebut ialah Encik Muhammad Aizuddin Rupawon (Ketua Penolong Pegawai Daerah, Pembangunan), Encik Mohd Hafizul Abd Ghani (Pegawai JKM Temerloh), serta barisan penghulu mukim dan Pengerusi JPKK kampung terlibat.
Program ini memberi fokus kepada penyerahan bantuan kewangan serta keperluan asas kepada mangsa yang terkesan dengan kejadian ribut dan pokok tumbang yang berlaku sepanjang hujung Mac hingga awal April lalu.
Lawatan pertama dimulakan di Kampung Ulu Ketam, Kerdau melibatkan rumah Encik Mohammad Rahimi Mat Nor yang mengalami kerosakan pada bahagian bumbung akibat pokok tumbang pada 27 Mac lalu.
Lawatan kedua pula di Kampung Baru Paya Raja Tekal melibatkan rumah Encik Abd Halim Muda yang turut mengalami kerosakan struktur bumbung selepas insiden serupa pada 30 Mac.
Manakala lawatan terakhir dijalankan di Kampung Teluk Sentang membabitkan Encik Jemmizam Luhari yang terjejas pada 6 April apabila ribut kuat merosakkan 10 keping atap serta kayu alang rumahnya.
Menurut Datuk Khairur Rizal, program ini bukan sahaja bertujuan membantu meringankan beban mangsa bencana, malah sebagai satu bentuk sokongan moral dan tanda keprihatinan pihak kerajaan negeri kepada rakyat.
“Terima kasih kepada YAB Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Kerajaan Negeri atas sokongan tidak berbelah bahagi dalam memastikan nasib mangsa bencana terus dibela,” katanya.-SAHIH