TIGA KELUARGA TERIMA RUMAH BAHARU, HADIAH RAYA LEBIH BERMAKNA
TIGA KELUARGA TERIMA RUMAH BAHARU, HADIAH RAYA LEBIH BERMAKNA
TEMERLOH– Tiga keluarga dari Kampung Tanjung Kerayong dan Sungai Ketapa, Mentakab menerima ‘hadiah lebaran’ apabila menerima rumah baharu hasil penempatan semula Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Semantan, Fasa 1.
Majlis penyerahan rumah itu disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Sri Zulkifli Yaacob bersempena Program Ziarah Kasih ke daerah ini.
Rumah berkenaan dibina di atas tanah rizab Seksyen 62 Kanun Tanah Negara 1965 di Taman Bukit Cermin, Mentakab, dengan kos RM80,000 sebuah.
Ia dibiayai melalui peruntukan Projek Infrastruktur MADANI (PRISMA) Tahun 2024 oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri.
Tiga penerima yang terlibat ialah Puan Roslaili Alias (Kg Sg Ketapa), Fahrudin bin Samsudin dan Puan Noryana Abd Manap (Kg Tg Kerayong). Mereka merupakan sebahagian daripada 13 penduduk yang terjejas akibat projek PLSB ini.
Selain itu, lima lagi keluarga dipindahkan ke Rumah UAE (Bantuan Banjir) di Bukit Bendera, manakala dua lagi menerima rumah melalui Rumah Rakyat Pahang (RRP) di lokasi sama.
Baki tiga keluarga yang masih belum dipindahkan akan menerima rumah masing-masing selepas pembinaan siap di Kg Bongsu, Lanchang – hasil kelulusan di bawah Program Pemajuan Kawasan (PPK) oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Penempatan semula ini merupakan antara langkah penyelesaian jangka sederhana dan panjang dalam menangani masalah banjir di Mentakab, khususnya di sepanjang jajaran Sungai Semantan.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengarah Pembangunan Negeri Pahang, Datuk Fadzilla Salleh dan Pegawai Daerah Temerloh, Datuk Khairur Rizal Ramli.
Program PLSB Sungai Semantan bakal diteruskan ke Fasa 2 dan seterusnya hingga ke Sungai Pahang, demi kesejahteraan rakyat di kawasan berisiko banjir.-SAHIH