TIGA DIKOMPAUN KERANA LEKA BERBUAL
TIGA DIKOMPAUN KERANA LEKA BERBUAL
LIPIS : Dua lelaki berusia 31 tahun dan seorang wanita berusia 43 tahun ditahan kerana kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di sempadan antara Kampung Jerkoh (Lipis) dengan Ulu Atok (Raub), pada jam 6.00 petang, semalam.
Semua mereka sedang leka berbual di luar sebuah kereta Perodua Kelisa berdekatan batu penghadang sempadan kedua daerah itu.
Ketua Polis Lipis, Suprintenden Azli Mohd. Noor berkata, anggota polis yang membuat rondaan di kawasan pentadbiran Pondok Polis Jerkoh ternampak sebuah kereta dan tiga orang sedang berkumpul dan berbual di hadapan batu penghadang sempadan kedua daerah.
“Anggota polis telah menghampiri kedua orang lelaki dan seorang perempuan berkenaan yang kemungkinan tidak menyedari kehadiran anggota polis kerana leka berbual.
“Ketua peronda telah memperkenalkan diri dan menunjukkan kad kuasa polis lalu menahan mereka berkenaan atas sebab berkumpul tanpa alasan yang munasabah termasuk gagal memastikan penjarakan fizikal,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini hari ini.
Menurut Azli, ketiga mereka yang dikompaun dibawa ke Balai Polis Kuala Lipis untuk dikenakan kompaun masing-masing bernilai RM1,500.
“Mereka bertiga gagal pematuhan SOP termasuk penjarakan fizikal di bawah Peraturan 16(1) Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan) 2021,” katanya.
Kata Azri, semasa tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) orang ramai perlu mematuhi SOP arahan Majlis Keselamatan Negara termasuk peraturan keselamatan tertentu ketika berurusan di luar.
“Kerjasama orang ramai amat wajar dalam usaha membantu kerajaan mempercepatkan pemulihan daripada ancaman wabak Covid-19, pihak polis Lipis akan membuat rondaan serta pemantauan sepanjang masa di semua tempat dan sempadan daerah ini bagi memastikan Pelan Pemulihan Negara SOP Fasa 2 dipatuhi oleh orang ramai. ” katanya.-SAHIH.