TIGA BERADIK ANTARA EMPAT DIKHUATIRI LEMAS
TIGA BERADIK ANTARA EMPAT DIKHUATIRI LEMAS
PUTATAN – Tiga beradik antara empat yang dikhuatiri lemas selepas dipercayai mandi di Pantai Gorongan berhampiran Kampung Contoh, di sini, petang Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam jam 5 petang itu, semua mangsa berusia antara 8 hingga 17 tahun bersama empat lagi rakan dihanyutkan arus laut yang dikatakan tiba-tiba menjadi deras.
Bagaimanapun, empat daripadanya sempat menyelamatkan diri manakala mangsa, Korais Amit berusia 8 tahun bersama dua kakaknya Norain dan Rafidah masing-masing berusia 13 dan 14 tahun serta seorang lagi rakan mereka dikenali sebagai Dalang berusia 17 tahun masih hilang.
Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, empat mangsa yang berjaya menyelamatkan diri berusia antara 9 hingga 13 tahun.
“Mereka berjaya menyelamatkan diri sebelum meminta bantuan daripada penduduk berhampiran.
“Empat lagi mangsa gagal dikesan sebelum pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dihubungi untuk mendapatkan bantuan kecemasan,” katanya ketika ditemui di lokasi pada Selasa.
Katanya lagi, seorang daripada empat mangsa yang terselamat dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk mendapatkan rawatan lanjut, lapor SINAR HARIAN.
“Usaha mencari mangsa lain giat dilakukan oleh Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) JBPM,” katanya.