Tiga anak sakit jantung, saraf dan tinggal di rumah tanpa bilik
Tiga anak sakit jantung, saraf dan tinggal di rumah tanpa bilik
JERANTUT – Tiga orang anak daripada 5 beradik kepada pasangan Mohd Nazrul Mat Zain, 42, dan Nurul Wahida Kamarudin, 38, dua daripadanya mengalami penyakit jantung dan telah menjalani pembedahan dan seorang lagi menunggu rawatan saraf dan pembedahan.
Anak bongsunya, Nurul Aishah Mohd Nazrul , berusia 1 tahun 4 bulan, sudah menjalani dua kali pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur berikutan penyakit jantung berlubang dan saluran injap pada 29 Jun dan 6 Julai 2022 lalu.
Manakala, anak ketiga, Nurul Shafiera, 11, turut mengalami masalah jantung dan telah menjalani pembedahan dua tahun lalu.
Anak keduanya, Nurul Syafinaz, 14 pula diserang penyakit pelik berkaitan saraf apabila jari telunjuk di tangan kiri membengkak dan berlaku kesakitan berterusan di bahagian tangan dan lengan kiri serta bahagian belakang badannya.
“Nurul Syafiera mula mengalami sakit jantung dan telah menjalni pembedahan sejak berumur 9 tahun, sekarang masih menerima rawatan susulan di Hospital Temerloh.
“Adiknya (Nurul Aishah) turut mengalami masalah jantung sejak lahir dan sudah dua kali menjalani pembedahan pada 29 Jun dan kali kedua pada 6 Julai, sekarang masih menerima rawatan dari IJN dan Hospital Temerloh,” katanya di rumahnya di Felda Kota Gelanggi 2, dekat sini, semalam.
Katanya, anaknya Syafinaz mula diserang sakit saraf sejak berusia 11 tahun dan sekarang menunggu panggilan daripada Hospital Kuantan untuk menjalani pembedahan yang berpunca daripada benjolan kecil di jari telunjuk kirinya dan terus memberi kesan sakit belakang badannya.
“Oleh kerana selalu menjalani rawatan susulan, keluarga saya menghadapi kesulitan perbelanjaan untuk tiga anaknya selain perbelanjaan harian lain.
“Kami anak beranak kini menumpang di sebuah rumah kecil yang uzur di atas tanah milik ibu bapa, sebuah rumah tanpa bilik dan juga di situlah sebagai tempat untuk memasak serta tanpa bilik air yang sempurna untuk kemudahan mandi-manda,”katanya.
Katanya, kerana pendapatan bulanannya suaminya tidak tetap, iaitu antara kira-kira RM600 hingga RM900 hanya sekadar berjimat untuk keperluan barang dapur, persekolahan anak, bil elektrik dan air.
“Suami saya berkerja sendiri dengan pendapatan tidak seberapa, diharap dapat bantuan daripada mana-mana pihak untuk kos perubatan anak-anak saya.
“Dengan pendapatan itu untuk membeli susu khas bagi kedua anaknya yang mengalami masalah jantung sebanyak RM1,200 sebulan, manakala setiap kali ke IJN Kuala lumpur terpaksa berhabis wang sebanyak RM1,000 termasuk sewa kereta, tempat tinggal dan makanan,”katanya.
Katanya, kepada dermawan termasuk NGO yang ingin menghulurkan bantuan kepada keluarga ini boleh menghubungi Nurul Wahida Kamarudin menerusi talian 013 7154171.-SAHIH.