Tidak sampai 1 jam, dana terkumpul sebanyak RM16,500 peneroka Jengka 24 untuk Waqaf Felda
Tidak sampai 1 jam, dana terkumpul sebanyak RM16,500 peneroka Jengka 24 untuk Waqaf Felda
JERANTUT : Peneroka Felda Jengka 24 dekat sini cuma mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengumpul dana mengisi Waqaf Felda berjumlah RM16,500 melibatkan sumbangan daripada pelbagai badan kebajikan, koperasi dan pertubuhan di Felda tersebut hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kemakmuran Rancangan (JKKR) Felda Jengka 24, Razak Daud berkata, dana tersebut terkumpul selepas peneroka, wakil badan kebajikan, koperasi serta pertubuhan di situ mendengar ceramah kira-kira 30 minit mengenai peranan Waqaf Felda yang telah disampaikan oleh Penolong Pengarah Felda Wilayah Jengka, Mohd Nor Hafiz Ab. Rahman.
“Selepas mendengar ceramah, sebanyak 10 badan kebajikan, koperasi dan pertubuhan bersetuju dengan ikhlas hati untuk menyumbangkan dana mengisi waqaf tersebut kepada pihak pengurusan Felda Wilayah Jengka,” katanya selepas majlis ceramah Waqaf Felda di Felda Jengka 24 dekat sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengurus Felda Jengka 24, Saiful Muhammad Puzi dan Pengerusi Gerakan Wanita (GPW) Felda Jengka 24, Sapura Mahat.
Menurut Razak, dana Waqaf Felda yang terkumpul dalam tempoh yang singkat itu, iaitu penyumbangnya terdiri daripada Masjid Felda Jengka 24 sebanyak RM3,000, Tabung Khairat Kematian (RM3,000), Tabung Pendidikan Felda (RM3,000), Biro Keselamatan Felda (RM3,000), RM1,000 (JKKR), GPW (RM1,000), Koperasi Jengka 24 (RM1,000), Biro Ekonomi (RM500), Majlis Belia Felda (RM500) dan Biro Agama (RM500).
“Kesemua dana yang terkumpul daripada badan kebajikan dan koperasi berkenaan berjumlah RM16,500 telah kita serahkan kepada pengurusan Felda Wilayah Jengka yang diterima oleh Mohd Nor Hafiz selepas majlis hari ini.
“Saya tidak menjangka sumbangan dana yang cukup besar jumlahnya daripada individu peneroka, badan kebajikan, pertubuhan dan koperasi di Felda ini yang cuma dalam tempoh yang singkat selepas ceramah disampaikan dan apapun merupakan keizinan Allah SWT dan istiqamah bagi semua pihak,” katanya.
Razak berkata, hal ini menunjukkan iltizam serta kesedaran masyarakat peneroka di situ mengenai manfaat penubuhan Waqaf Felda yang diketuai oleh Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh serta dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 12 November 2021.
“Dana yang terkumpul hari ini membolehkan Felda Jengka 24 disenaraikan tempat pertama tanah rancangan Felda yang paling banyak menyumbangkan untuk Waqaf Felda daripada sejumlah 37 buah Felda di kawasan Wilayah Jengka.
“Sasaran peneroka di sini untuk menyumbangkan RM100,000 bagi tahun ini bagi menyokong pembentukan model perniagaan baharu, menyemai benih keberkatan, menyuburkan kebajikan dan sumbangan kepada komuniti serta mengukuhkan kelestarian Felda itu sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi GPW Felda Jengka 24, Safura Mahat berkata, walaupun setiap keluarga peneroka dikehendaki menyumbangkan sebanyak RM500 untuk dana Waqaf Felda, tetapi beliau bertekad untuk mengajak suami dan seramai enam orang anaknya yang sudah bekerja membantu sumbangan lebih daripada yang ditetapkan.
“Saya yakin sekiranya semua ahli keluarga peneroka di sini mempunyai kesedaran konsep waqaf dalam Islam, kita mampu menyasarkan jumlah sumbangan yang lebih besar malahan boleh membantu pelbagai aktiviti kebajikan, sosial dan ekonomi dalam kalangan penduduk Felda dalam tempoh jangka panjang.
“Perkara ini juga selari dengan hasrat Felda menyasarkan untuk menguruskan aset bernilai RM500 juta menerusi Waqaf Felda menjelang tahun 2030,” ujarnya.-SAHIH