TIDAK PAKAI PELITUP MUKA, DUA DIKOMPAUN
TIDAK PAKAI PELITUP MUKA, DUA DIKOMPAUN
LIPIS – Dua orang lelaki berusia 18 dan 21 tahun yang tidak memakai pelitup muka dikenakan kompaun kerana gagal mematuhi prosedur operasi sandard (SOP) di Kawasan Industri Ringan Tempoyang, Lipis hari ini.
Kedua lelaki berkenaan yang bekerja sebagai buruh tidak memakai pelitup muka semasa berada di kawasan kerja mereka dan tidak menyedari gelagatnya itu diperhatikan kerana tidak mematuhi peraturan dikenakan.
Ketua Polis Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, kedua lelaki itu masing-masing dikenakan kompaun sebanyak RM1,500 kerana melakukan kesalahan di bawah Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

“Tindakan kedua lelaki berkenaan tidak memakai pelitup boleh dijangkiti wabak Covid-19 sedangkan penularan (wabak) ini masih belum lagi reda dan ketika ini pihak kerajaan masih mengetatkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh,” katanya di sini hari ini.
Menurut Azli, kedua lelaki berkenaan mempunyai rekod pernah dikenakan kompaun di bawah Peraturan 117(1) PPPDPPB 2021 dan Peraturan 11 (1) PPPDPPB 2021 (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.
Beliau selanjutnya menambah kedua lelaki berkenaan diarahkan supaya mengikut sepenuhnya SOP semasa PKP selepas kompaun dikeluarkan.
“Kita akan meneruskan penugasan pemeriksaan di tempat awam, semua premis dan kawasan perumahan supaya memastikan SOP di bawah penguatkuasaan PKP Penuh dipatuhi serta tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan kompaun sekiraya ada penduduk yang melakukan kecuaian,” katanya.-SAHIH.