TIADA PAKSAAN, TAPI DIGALAKKAN
Berita Nasional
JANGAN JADIKAN ISU SEDEKAH PENEROKA BAHAN POLITIK
JERANTUT: Tindakan pihak tertentu mempersoalkan isu sedekah yang diperkenalkan FELDA kepada warga peneroka di seluruh negara adalah sangat mengecewakan.
Program FELDA Bersedekah ini adalah idea Pengerusi FELDA, Datuk Seri Idris Jusoh dan ia adalah sebagai galakan kepada warga peneroka untuk menyumbangkan sedikit pendapatan mereka bagi tujuan kebajikan serta program sepanjang bulan Ramadan tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Biro Sosial FELDA Wilayah Jengka, Razak Daud berkata, sepatutnya perkara ini tidak menjadi isu dan boleh diselesaikan dengan lebih bijak dan berhemah, antara warga peneroka itu sendiri.
“Apabila perkara ini sudah dijadikan isu, memang rasa kurang seronok dan agak kurang menyenangkan hati… konsep bersedekah itu sendiri adalah dituntut oleh agama kita dan sepatutnya ia (sedekah) dilakukan dengan rasa rela hati.
“Janganlah kita menjadi penghalang kepada mereka yang ingin bersedekah dan kerana kita tidak bersetuju, kita sebarkan pula benda yang tidak tepat yang akhirnya memberikan pandangan negatif kepada orang lain,” katanya ketika dihubungi di sini.
Beliau yang juga Ketua Peneroka FELDA Jengka 24 berpendapat, perkara ini menjadi isu apabila ada pihak tidak mendapat maklumat tepat berhubung arahan bersedekah yang dikeluarkan kepada setiap warga peneroka.
Katanya, semua Ketua Peneroka perlu memainkan peranan dengan lebih berkesan agar perkara ini dapat diselaraskan dengan lebih baik dan tersusun.
“Kita di FELDA Jengka 24 tidak berdepan masalah atau timbul isu berkaitan perkara ini… Alhamdulillah, semua memberi kerjasama dan menyatakan komitmen masing-masing untuk menjayakan program berkenaan.
“Pelancaran di peringkat FELDA Jengka 24 juga sudah dilakukan 23 Oktober lalu… kalau boleh, kita (FELDA Jengka 24) ingin menjadi contoh kepada peserta tanah rancangan FELDA yang lain,” katanya.
Beliau berharap semua warga peneroka dapat bersedekah dengan rela hati dan menyambut baik usaha murni berkenaan.